Harga sawit naik, peneroka dapat durian runtuh

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

SUDAH lama Merak Jalanan berkelana di ibu kota. Letih mata melihat deretan kereta yang pergi dan balik kerja setiap hari. Itulah rutin perantau mencari rezeki di bandar besar.

Maka, semalam Merak Jalanan terbang jauh menuju ke sebuah penempatan di kawasan pedalaman di Pahang.

Indah sungguh pemandangan kehijauan hutan belantara walaupun ada rompong di tengah-tengah, mungkin balak ditebang untuk projek pertanian.

Merak Jalanan berhenti rehat di jalan tanah merah di sebuah ladang kelapa sawit. Tidak jauh dari situ, ada tiga lelaki yang usia mereka menjangkau 70 tahun. Mereka berbicara mengenai harga semasa kelapa sawit yang mencecah RM1,200 satu tan.

Riak wajah mereka sungguh ceria dengan percakapan berselang-seli ketawa kecil. Seolah-olah meluahkan kegembiraan luar biasa selepas penat membanting tulang. Rupa-rupanya mereka berkongsi kesyukuran kerana mendapat gaji bersih lebih RM11,000 bulan lalu.

Selama 40 tahun makan hasil kelapa sawit, tidak pernah mereka terfikir boleh capai gaji lima angka.

Mereka juga mengimbau peristiwa suka duka kehidupan ketika mula menduduki tanah rancangan Felda pada awal 1980-an. Tanpa sedar, air mata Merak Jalanan menitis mendengar kisah keperitan hidup membesarkan anak-anak dengan pendapatan tidak menentu.

Ternyata gaji yang mereka terima hari ini sangat berbaloi dengan kudrat dicurahkan sejak zaman muda. Berbakti kepada tanah dan sudah pasti mereka akan terus setia bersama Felda sehingga akhir usia.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang warga emas itu sempat berpesan kepada rakannya supaya tidak lupa bayar zakat pendapatan.

Sebaik mereka menghidupkan jentera kapcai masing-masing, Merak Jalanan pun terbang pulang ke sarang di ibu kota sambil berdoa semoga harga sawit terus meningkat dan stabil, manakala kerajaan pula menjaga hubungan baik dengan negara pengimport.