TFC, JDT berentap separuh akhir

Mintah antara pencetak gol untuk TFC ketika berdepan Sarawak United di Shah Alam.
Mintah antara pencetak gol untuk TFC ketika berdepan Sarawak United di Shah Alam.
A
A
A

GERGASI pantai timur, Terengganu FC (TFC) mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia penuh bergaya apabila menjinakkan Sarawak United dengan agregat 6-3 selepas menang perlawanan suku akhir kedua 4-2 di Stadium UiTM, Shah Alam malam ini.

Tampil dengan kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum ini, skuad kendalian Nafuzi Zain terlebih dulu di depan hasil jaringan penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah pada minit kedua.

Pelawat terus melebarkan jaringan pada minit ke-12 menerusi Faisal Halim sebelum Faiz Nasir memastikan skuad Penyu dikedudukan selesa 3-0 pada minit ke-45 di separuh masa pertama.

Di babak kedua, pelawat meneruskan pesta gol sekali lagi menerusi Mintah pada minit ke-64 untuk gol kedua peribadinya untuk kedudukan 4-0.

Skuad kendalian E Elavarasan yang tidak mengalah kembali memberi saingan apabila merapatkan jurang menerusi Sandro da Silva (72') dan Uche Agba (89').

Keputusan itu menyaksikan TFC akan berentap menentang juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) di pusingan empat terbaik.

Sementara itu, jaringan tunggal pemain muda JDT, Arif Aiman Hanapi membolehkan Harimau Selatan menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Jaringan minit ke-40, pemain berusia 19 tahun itu membolehkan skuad Benjamin Mora mara dengan agregat 1-0 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam aksi di Stadium Darul Aman, sebelum ini.

Artikel Berkaitan: