Perodua Myvi baharu catat 4,303 tempahan sejak 9 November

Perodua melancarkan Myvi baharu malam ini yang menyaksikan sejumlah 4,303 unit telah ditempah sejak 9 November lepas dengan penghantaran pantas pada keesokannya. - Foto Bernama
Perodua melancarkan Myvi baharu malam ini yang menyaksikan sejumlah 4,303 unit telah ditempah sejak 9 November lepas dengan penghantaran pantas pada keesokannya. - Foto Bernama
A
A
A

PERODUA melancarkan Myvi baharu malam ini yang menyaksikan sejumlah 4,303 unit telah ditempah sejak 9 November lepas dengan penghantaran pantas pada keesokannya.

Myvi baharu yang menelan kos RM50 juta untuk dibangunkan, turut dilengkapkan dengan teknologi canggih, ciri keselamatan pintar yang dipertingkat, penjimatan bahan api lebih baik, penampilan baharu lebih ‘sporty’ serta warna baharu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya menjangkakan pendaftaran kenderaan itu mencecah 6,000 unit sebulan yang membolehkan pengeluar kenderaan kompak itu mengekalkan kecenderungan jualan Myvi pada masa akan datang.

“Myvi telah menarik perhatian rakyat Malaysia dan turut diterima secara meluas oleh masyarakat. Tawaran baharu ini adalah untuk memastikan para pelanggan yang kami hargai dapat memperoleh nilai yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Varian Myvi baharu itu merangkumi 1.5 liter AV (Advance), varian 1.5 liter H, varian 1.5 liter X, 1.3 liter G dan 1.3L G (Basic) dengan harga sekitar RM45,700 hingga RM58,800 seunit.

Myvi yang mula diperkenalkan pada Mei 2005, telah mencatat jualan kira-kira 1.3 juta unit setakat ini dengan Myvi generasi ketiga merekodkan jualan sebanyak 277,329 unit.

Antara perubahan ketara pada Myvi baharu itu adalah penambahbaikan sistem keselamatannya, menampilkan sistem pemanduan pintar Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang direka dengan mengambil kira keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

PSDA terbabit meliputi empat ciri iaitu bantuan pemanduan selamat (ASA), bantuan pemanduan; bantuan parkir atau meletak kenderaan dan bantuan lampu utama.

Artikel Berkaitan:

Ciri-ciri penuh itu terdapat dalam varian AV yang membolehkannya muncul sebagai kereta berteknologi Autonomous Level 2.

Mengulas kelebihan itu, Zainal berkata: “Ini merupakan pertama kali dalam sejarah Malaysia yang menyaksikan syarikat automotif menawarkan kereta berteknologi Autonomi Tahap 2 pada harga di bawah RM60,000.”

Kesemua varian Myvi baharu itu akan menampilkan transmisi baharu iaitu Dwi-mod CVT bagi menggantikan transmisi dengan empat kelajuan.

Menurut Zainal, penambahbaikan itu membolehkan Myvi mencatatkan peningkatan sebanyak 5.0 peratus atau tambahan 1 kilometer bagi setiap liter bahan api serta 20 peratus pecutan yang dipertingkat. - Bernama