Kedutaan Malaysia di Bangkok promosi pertukaran budaya

Pertukaran budaya antara pelajar Thailand dan Malaysia untuk mewujudkan kefahaman kebudayaan yang lebih mendalam. - Foto Bernama
Pertukaran budaya antara pelajar Thailand dan Malaysia untuk mewujudkan kefahaman kebudayaan yang lebih mendalam. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand berharap dapat mempromosi pertukaran budaya antara pelajar Thailand dan Malaysia untuk mewujudkan kefahaman kebudayaan yang lebih mendalam.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata program pertukaran budaya itu akan memperkayakan pengetahuan dan pembangunan sahsiah pelajar, selain memberi mereka peluang bertemu rakan baharu.

Beliau menambah program sedemikian juga dapat memberi manfaat kepada golongan guru dan dewasa.

“Kita boleh mulakan dengan memberi tumpuan kepada elemen kecil, seperti mempelajari frasa ucapan mudah dalam bahasa Thai dan Bahasa Melayu, tradisi dan perayaan, dan permainan tradisional. Apabila keadaan mengizinkan, kita juga boleh menganjurkan lawatan fizikal untuk pelajar mempelajari tarian tradisional dan peralatan muzik.

“Jika ini berjaya, kita juga boleh mengembangkannya ke sekolah-sekolah lain di ASEAN. Ini akan memberi ruang kepada pelajar kita membina persahabatan yang berpanjangan, memberi mereka peluang mengenali jiran mereka untuk mempromosikan hubungan dan kesedaran antara budaya,” katanya.

Terdahulu, Jojie melawat Sekolah Phratamnaksuankulab Mahamongkon di Salaya, Wilayah Nakhon Pathom dan menyerahkan peralatan sukan bernilai 24,000 baht (RM3,000) dan bahan promosi mengenai Malaysia kepada sekolah itu.

Jojie juga merupakan penaung sekolah itu sejak 2019 yang menjadi peserta projek Penaung anjuran Yayasan Kebajikan Duta Muda Bangkok dengan sokongan Kementerian Luar Thailand.

Menurut beliau program itu adalah sebahagian daripada program diplomasi awam atau jangkauan untuk menggalakkan kerjasama antara kedutaan dan institusi pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap sumbangan peralatan sukan itu akan membantu menggalakkan dan mengembangkan minat sukan dalam kalangan pelajar sekolah.

Jojie juga menggalakkan Sekolah Pratamnaksuankulab dan kedutaan untuk meneroka cara mempromosikan pertukaran silang budaya secara maya antara sekolah itu dan sekolah-sekolah di Malaysia. - Bernama