Nadma peruntuk RM1.3 juta baiki PPS di Kelantan

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim (kanan) hadir bagi mendengar taklimat persiapan menghadapi Monsun Timur Laut di Bilik Gerakan Negeri Kota Darul Naim hari ini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) negeri Kelantan Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal (kiri). - Foto Bernama
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim (kanan) hadir bagi mendengar taklimat persiapan menghadapi Monsun Timur Laut di Bilik Gerakan Negeri Kota Darul Naim hari ini. Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) negeri Kelantan Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memperuntukkan RM1.3 juta bagi kerja membaik pulih pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, bantuan sebanyak RM50,000 kepada setiap jajahan di negeri itu akan disalurkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi pengurusan ketika banjir.

“Kita turut menyalurkan RM20,000 kepada Jawatan Pengurusan Bencana (JPB) Negeri untuk bantuan pengurusan bencana pada kali ini yang akan disalurkan dalam tempoh terdekat supaya pergerakan bantuan sebagai contoh minyak diesel, khemah dan tikar dapat diselaraskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Persiapan Menghadapi Monsun Timur Laut di Bilik Gerakan, Kota Darul Naim di sini pada Khamis.

Aminuddin berkata, seramai 6,500 anggota daripada pasukan penyelamat di negeri ini termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia diatur gerak bagi menghadapi Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh.

Menurutnya, 1,600 aset terdiri daripada bot, trak dan sebagainya yang telah diaudit sedia digerakkan sekiranya berlaku banjir, selain 3,000 kit makanan kering diagihkan ke depoh-depoh yang diselia oleh APM.

"Untuk rekod, tahun lepas seramai 11,500 mangsa banjir ditempatkan di beberapa PPS di negeri ini, jadi kita anggarkan tahun ini perlu diwujudkan 170 PPS yang aktif dengan mengambil kira situasi negara yang masih berdepan dengan penularan Covid-19.

"Kita jangkakan negeri ini akan mengalami lima hingga enam episod hujan lebat dalam tempoh lima bulan sehingga Mac depan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: