X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Hadiahkan Najib hartanah RM100 juta, pembangkang kaji semula kerjasama

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang akan mengkaji semula segala bentuk persefahaman dengan kerajaan susulan kabinet sebulat suara menerima satu permohonan untuk menghadiahkan sebidang tanah dan sebuah rumah kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggar bernilai RM100 juta.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangkang terkejut apabila mendapat pengesahan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung perkara tersebut.

“Perkara ini tidak pernah dibincang atau dimaklumkan kepada kami dalam sebarang pertemuan dengan wakil pihak kerajaan.

“Tindakan kabinet untuk ‘menghadiahkan’ tanah dan rumah kepada seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah ternyata keputusan yang paling tidak bermoral dan langsung tidak masuk akal.

“Keputusan yang amat mengejutkan ini memaksa kami untuk mengkaji semula segala bentuk persefahaman yang wujud sehingga kini,” katanya dalam catatan di Facebook pada Khamis.

Pada Khamis, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu menggulung perbahasan Bajet 2022 dalam Dewan Rakyat mengesahkan, kerajaan menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Media sebelum ini melaporkan permohonan Najib untuk sebidang tanah seluas 1.13 hektar dari kerajaan yang dikatakan terletak di sebuah lokasi di Petaling Jaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Zafrul sahkan Najib mohon rumah bernilai RM100 juta


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!