Pemilik premis perniagaan terkenal lindungi warga asing

Antara tukang jahit warga asing yang diperiksa Imigresen dalam serbuan di beberapa buah premis di Shah Alam pada Rabu.
Antara tukang jahit warga asing yang diperiksa Imigresen dalam serbuan di beberapa buah premis di Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Beberapa pemilik premis perniagaan yang terkenal di Shah Alam cuba melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan memaklumkan pegawai Imigresen bahawa tiada pekerja terbabit di premis mereka.

Mereka turut melakukan ubahsuai bangunan dengan membuat laluan yang kononnya dapat mengaburi mata penguat kuasa.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil pemantauan mendapati, warga asing itu memasuki premis untuk melakukan kerja-kerja menjahit dan hanya keluar selepas selesai tugas.

Menurut beliau, dalam serbuan kira-kira jam 4 petang pada Rabu, seramai 58 warga asing telah diperiksa dan 27 membabitkan tukang jahit ditahan.

"Mereka yang ditahan ialah 26 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal.

Kesemua berusia 22 hingga 45 tahun," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Khairul Dzaimee berkata, ketika serbuan, warga asing itu tidak sempat melarikan diri kerana tidak menyedari kehadiran pegawai imigresen.

"Maklumat awal yang diperoleh ialah kebanyakan premis dimiliki oleh warga tempatan dan di ‘ali baba’ kan perniagaan tersebut kepada warga asing.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut menerima tempahan daripada pengusaha tekstil.

"Tempahan biasa juga diterima tetapi hanya dari pelanggan tetap sahaja," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya turut mengeluarkan dua notis kepada pekerja warga tempatan bagi membantu siasatan dan mengesan pemilik premis tersebut.

"Hasil risikan, premis ini beroperasi seperti biasa setiap hari dan kawasan perniagaan ini merupakan tumpuan warga tempatan membuat tempahan pakaian.

"Premis ini juga dilengkapi kamera litar tertutup bagi mengesan sebarang aktiviti penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata, 'tonto' turut diletakkan di sekitar kawasan perniagaan untuk menghidu pergerakan agensi penguatkuasaan.

"Bagaimanapun, usaha 'tonto kecil' ini berjaya dipatahkan dengan ketangkasan pegawai operasi," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara dan diusir," katanya.