KKMM akan bincang gubal Rang Undang-undang Majlis Media

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbincangan lanjut berhubung pindaan atau penggubalan undang-undang baharu berkaitan Rang Undang-undang Majlis Media perlu diadakan sebelum dimuktamad dan dibentang di Parlimen.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis memaklumkan, perbincangan lanjut berhubung perkara itu perlu dilakukan bersama kementerian atau agensi lain yang berkaitan.

“Kementerian ini perlu mempertimbangkan secara terperinci cadangan-cadangan pemansuhan dan pindaan Akta-Akta berkaitan yang terletak di bawah bidang kuasa pelbagai Kementerian dan agensi,” menurut KKMM menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai jangka masa untuk membentangkan Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia dan keadaan terkini berkenaan penubuhan majlis itu.

Antara perundangan yang dicadangkan untuk dipinda ialah Seksyen 499 hingga 502, Seksyen 505(b) dan (c) Kanun Keseksaan, Seksyen 114(a) Akta Keterangan 1950 dan Akta Finas 1981 agar sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, jawatankuasa sementara Majlis Media Malaysia juga telah mencadangkan pemansuhan beberapa akta seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Hasutan 1948, menurut KKMM. - Bernama

Artikel Berkaitan: