X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Tengku Zafrul sahkan Najib mohon rumah bernilai RM100 juta

Najib
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kerajaan menerima permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan rumah bernilai RM100 juta dan akan dimasukkan dalam bajet tambahan.

Perkara itu menyebabkan Dewan Rakyat berlaku perang mulut lebih 30 minit apabila ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan pertimbangan kerajaan bagi permohonan Najib itu.

Tengku Zafrul berkata, permohonan itu dibuat selepas Bajet 2022 dibentangkan dan perkara itu masih belum dimuktamadkan.

"Dengan itu, perkara ini tidak termasuk dalam sebahagian anggaran Bajet 2022.

"Kalau ada perbelanjaan selepas itu akan buat Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan ke Parlimen," katanya ketika mengulung perbahasan Bajet 2022 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan pada Khamis.

Bagaimanapun beliau menegaskan, sebarang pertanyaan mengenai perkara itu perlu dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 atau Akta 237 adalah di bawah bidang kuasa JPM.

Isu itu terdahulu dibangkitkan Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) yang meminta Tengku Zafrul menjelaskan hadiah bernilai RM100 juta kepada Najib.

"Perkara ini tidak disebut dalam bajet tetapi diperkatakan khalayak ramai. Ia mengenai hadiah kepada Datuk Seri Najib yang dikatakan dalam bentuk tanah dan rumah bernilai RM100 juta ekoran kononnya jasanya kepada negara.

"Kita hendak tahu apa jasa beliau? Setakat yang kita tahu, beliau adalah banduan yang telah didapati bersalah, dihukum 12 tahun penjara dan denda lebih RM200 juta.

"Inikah cara kerajaan nak balas budi? Jadi Perdana Menteri akan datang boleh curi duit kerana kalau curi duit, dapat tambah duit lagi dan duit yang dicuri pun diberi balik," katanya.

Menurut Dr Mahathir, hadiah itu disebutkan berjumlah RM100 juta iaitu RM60 juta untuk beli tanah dan RM40 juta untuk bangunkan bangunan.

"RM40 juta untuk bina rumah itu banyak sangat pasal rumah untuk Perdana Menteri pun RM26 juta sahaja yang saya duduk situ dulu. Mungkin dia punya reka bentuk seperti jel," sindir beliau.

Susulan kekecohan yang berlaku, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dengan tegas meminta ahli Parlimen pembangkang duduk dan menghentikan 'perang mulut' mengenai permohonan berkenaan.

Jelasnya, ia kerana Tengku Zafrul telah menerangkan bahawa ia tidak termasuk dalam Bajet 2022.

Antara mereka yang tetap membantah ialah Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) dan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Ketika itu turut terdengar laungan "Speaker nak lindung penjenayah ke? Takkan Speaker nak bersekongkol" dari kalangan ahli Parlimen itu yang tidak berpuas hati.

Keadaan kembali reda selepas Azhar meminta Tengku Zafrul meneruskan penggulungan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!