Sila log masuk terlebih dahulu.

Kerajaan hasrat semak semula pengurusan pusat beli-belah GLC

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan dalam memastikan peniaga khususnya bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka di situ.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana peniaga bumiputera dilihat masih kurang berkemampuan mendapatkan ruang perniagaan di premis berkenaan walaupun ada di antara pusat beli-belah dimiliki GLC disebabkan kadar sewa terlalu tinggi selain faktor persaingan.

"Kerajaan juga mengambil maklum bahawa pemilikan premis perniagaan di pusat beli belah berprestij dan lokasi tumpuan pelancongan oleh golongan bumiputera masih rendah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) menerusi sidang video pada Rabu yang dipengerusikan olehnya bagi membincangkan usaha memperkasa dan memperkukuh pembangunan ekonomi dan sosioekonomi bumiputera.

Mesyuarat itu, katanya, turut mencadangkan agar kuota jumlah premis perniagaan milik bumiputera di lokasi strategik diwujudkan selaras dengan usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi bumiputera.

"Namun kuota ini akan diuruskan dengan cara telus dan adil agar matlamat utama untuk membantu perniagaan bumiputera yang layak dan berpotensi tercapai, tanpa disalah guna sehingga tersasar daripada objektif sebenar, sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia," katanya.

Ismail Sabri berkata, merujuk kepada penglibatan bumiputera dalam perolehan kerajaan, mesyuarat dimaklumkan bahawa syarikat bumiputera telah memperoleh sebanyak 80 peratus daripada nilai kontrak tahunan keseluruhan agensi kerajaan.

Katanya, pada masa sama, kerajaan akan memastikan GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) turut menyokong aspirasi penglibatan syarikat bumiputera dalam perolehan mereka.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Perdana Menteri berkata, peluang penyertaan syarikat bumiputera terbuka luas dalam projek pembangunan sistem rangkaian 5G oleh sebuah syarikat milik penuh kerajaan dan mereka akan mendapat manfaat sehingga 60 peratus daripada anggaran keseluruhan kos projek bagi tempoh 10 tahun pelaksanaannya.

"Sekali lagi, sistem perolehan akan diurus dengan telus dan adil supaya hanya syarikat bumiputera yang layak atas merit akan mendapat manfaat tersebut," katanya.

Berhubung kadar peratusan pemilikan aset oleh bumiputera, khususnya dalam pemilikan perumahan dan premis komersial, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memastikan rumah yang dibina bukan sekadar mampu milik tetapi lebih berkualiti dengan lokasi lebih strategik.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju supaya fungsi dan peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) diperkasa dalam memastikan agenda bumiputera akan terus relevan dan kompetitif dengan perkembangan ekonomi.

Beliau berkata, kerajaan akan menubuhkan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap kementerian dan agensi kerajaan bagi menyelaras semua inisiatif, dasar dan agenda bumiputera seperti yang telah diputuskan di peringkat MKB bagi menambah baik tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan mandat dan fungsi berkaitan bumiputera,

"Teraju selaku sekretariat MKB turut membentangkan persiapan pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember ini di Kuala Lumpur.

"Berdasarkan prinsip kesaksamaan peluang dan kesaksamaan keberhasilan TPB2030 dibangunkan Teraju ini berlandaskan intipati dari Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), didukung oleh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia," katanya. - Bernama