Kenaikan harga telur gusarkan peniaga

Siti Aisyah mendakwa terkejut dengan kenaikan ketara harga telur.
Siti Aisyah mendakwa terkejut dengan kenaikan ketara harga telur.
A
A
A

TEMERLOH - Kenaikan harga telur menggusarkan pengguna termasuk dalam kalangan peniaga yang melahirkan kebimbangan dengan situasi berkenaan.

Seorang peniaga mi bakso, Murtina Mursid, 49 mendakwa, sebelum ini dia dapat membeli harga telur gred C sepapan dalam lingkungan harga RM7 ke atas.

"Semalam (Rabu), harga telur gred sama naik hingga RM11.59 sepapan yang dibeli sebuah pasar raya di bandar Mentakab.

"Memang terkejut tapi nak tak nak terpaksa beli juga sebab memang guna telur dalam mi yang dijual," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Seorang peniaga masakan pagi, Affendi Mohd Diah, 58, yang menggunakan telur gred B di premisnya turut mengakui terdapat kenaikan harga tersebut.

"Sebelum ini boleh dapat dalam harga RM8 sepapan tetapi sekarang sudah naik hingga RM10.98 semalam (Rabu).

"Namun buat masa ini saya usaha untuk kekalkan harga makanan di premis ini walaupun dihimpit pelbagai kenaikan harga barangan asas termasuk telur," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga makanan, Ruzita Munir, 34, turut terkejut dengan kenaikan telur selepas beberapa siri kenaikan barangan lain seperti ayam dan sayur-sayuran di pasaran sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya lihat pelbagai barang naik harga sejak ke belakangan ini" katanya.

Situasi tersebut turut diakui seorang lagi peniaga makanan, Siti Aisyah Razali, 47 yang terkejut dengan kenaikan ketara harga telur.

"Dulu boleh dapat harga telur gred A dalam lingkungan harga RM11 tapi hari ini sudah naik hingga RM14 sepapan," jelasnya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit, Samsurida Abdullah, 61, memberitahu, harga dari pemborong bagi sepapan gred B ditetapkan pada RM11.80 berbanding hanya RM11.20 sebelum ini.

"Memang berlaku kenaikan harga telur di premis saya selepas pemborong beri harga lebih mahal.

"Memang saya akui pembeli sudah pasti merungut tapi saya pun tiada pilihan lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Permintaan telur ayam tidak terjejas