Empat premis pajak gadai tidak berlesen diserbu

Mohd Fauzi (dua dari kanan) menunjukkan iklan pajak gadai dan barang rampasan ketika sidang media pada Khamis. - Foto Bernama
Mohd Fauzi (dua dari kanan) menunjukkan iklan pajak gadai dan barang rampasan ketika sidang media pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebelas individu ditahan kerana dipercayai menjalankan perniagaan pajak gadai tidak berlesen dalam serbuan di empat premis, iaitu tiga di Selangor dan satu di Johor, bulan lepas.

Ketua Cawangan Siasatan dan Pemantauan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK), ACP Mohd Fauzi Hassan berkata suspek berumur antara 20 dan 50 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 (Akta 81) kerana menjalankan perniagaan pemegang pajak gadai tanpa lesen yang sah.

Beliau berkata Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Menurutnya empat kertas siasatan telah dibuka dan tiga daripada mereka akan dituduh dalam masa terdekat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan seorang di Mahkamah Majistret Johor Bharu.

Bercakap pada persidangan media di sini pada Khamis, Mohd Fauzi berkata turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM13,437, barang kemas bernilai RM99,885, alat penimbang emas, cecair asid penguji emas, satu set komputer dan resit menyerupai surat pajak gadai.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya telah melakukan 295 pemeriksaan ke atas perniagaan pemegang pajak gadai dan 767 premis kredit komuniti sejak Jan hingga Okt tahun ini. -Bernama

Artikel Berkaitan: