Peruntukan tambahan RM3 juta rancakkan industri pelancongan Kelantan

Md Anizam (kiri) ketika hadir ke Karnival Sukan Antara Jajahan yang dilangsungkan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh pada Khamis.
Md Anizam (kiri) ketika hadir ke Karnival Sukan Antara Jajahan yang dilangsungkan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh pada Khamis.
A
A
A

PASIR PUTEH - Peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta diperlukan bagi merancakkan lagi industri pelancongan Kelantan tahun depan.

Exco Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri kini sedang mempromosikan lokasi-lokasi tarikan pelancong yang baharu seperti zoo, muzium dan sebagainya.

"Untuk tahun ini sahaja kita peruntukkan RM6 juta bagi pembangunan pelancongan negeri. Insya-ALLAH kita berharap bajet untuk tahun depan kita dapat tambah lagi RM3 juta.

"Peruntukan berkenaan akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan industri pelancongan negeri kembali rancak walaupun kita masih dalam tempoh kawalan penularan Covid-19," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Md Anizam sebelum itu ditemui di Karnival Sukan Antara Jajahan yang dilangsungkan di Pantai Bisikan Bayu, di sini. Majlis turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, katanya, sejak kebenaran rentas negeri diberikan, Kelantan menerima kemasukan lebih 65 peratus pelancong dari luar dan ia membantu merancakkan kembali industri pelancongan negeri ketika ini.

Katanya, banyak lokasi pelancongan sedia ada seperti Dabong dan kawasan pantai menjadi tarikan utama masyarakat dan perantau yang membawa keluarga pulang ke kampung.

"Hotel dan rumah inap pun penuh sama ada di kawasan tepi pantai atau tengah bandar. Penerbangan juga semakin banyak dan ia sebenarnya membantu memudahkan lagi pergerakan keluar masuk pelancong ke negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan: