LZS jangka kutipan zakat di Selangor cecah RM1 bilion

LZS dijangka memperoleh kutipan zakat tertinggi pada tahun ini sehingga mencecah RM1 bilion.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
LZS dijangka memperoleh kutipan zakat tertinggi pada tahun ini sehingga mencecah RM1 bilion.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

SABAK BERNAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) dijangka memperoleh kutipan zakat tertinggi pada tahun ini sehingga mencecah RM1 bilion.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan prestasi kutipan memberangsangkan pada tahun ini.

Menurutnya, kutipan RM1 bilion itu sekali gus mampu mengatasi sasaran ditetapkan pada tahun ini iaitu RM970 juta.

"Kita sasarkan kutipan zakat tahun ini RM970 juta dan yakin ia mampu mencapai sehingga RM1 bilion yang mana zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan Kali Ke-13 dan Perasmian Dewan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Abd Aziz berkata, MAIS dalam mesyuarat pada Januari lalu turut menyediakan kemudahan bayaran zakat yang dibuat melalui potongan gaji pada setiap bulan kepada semua kakitangannya, agensi dan anak syarikat di bawah MAIS.

Beliau memberitahu, kemudahan itu memberi peluang kepada semua pihak membuat bayaran zakat dengan lebih mudah.

"Bayaran zakat melalui potongan gaji memerlukan persetujuan pekerja mengikut kemampuan masing-masing dan tiada paksaan.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan agensi di bawah MAIS sudah melaksanakan bayaran zakat melalui kaedah ini sejak awal tahun ini," katanya.

Mengulas mengenai perasmian dewan terbuka itu, Abd Aziz berkata, sebanyak RM834,000 diperuntukkan bagi pembinaannya.

Jelas beliau, dewan itu mengalami kelewatan siap berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu

"Kos pembinaannya juga meningkat disebabkan masalah kelewatan dan sebagainya, namun kita bersyukur dan gembira apabila akhirnya ia berjaya disiapkan," ujarnya.

Katanya, pelbagai aktiviti boleh dijalankan di dewan terbuka itu yang turut dilengkapi dengan kemudahan tempat mengambil wuduk dan tandas.

"Aktiviti kerohanian boleh dijalankan antaranya solat berjemaah dan solat tarawih.

"Selain itu, aktiviti sukan seperti sepak takraw, badminton dan permainan lain yang bersesuaian juga boleh diadakan di sini," jelasnya.