1,000 anak Johor hilang ibu bapa akibat Covid-19 dibantu

Hasni membentangkan Belanjawan Johor 2022 ketika Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 di Iskandar Puteri pada Khamis.
Hasni membentangkan Belanjawan Johor 2022 ketika Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 di Iskandar Puteri pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai 1,000 anak Johor yang kematian ibu bapa disebabkan Covid-19 akan menerima bantuan RM2,500 sehingga RM5,000 secara 'one-off' menerusi simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, peruntukan sebanyak RM3 juta di bawah inisiatif Anak Angkat Makmur Johor itu akan diuruskan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.

Beliau berkata, di bawah inisiatif itu juga, baucar persekolahan dan bantuan yuran kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) akan diberikan kepada anak-anak berkenaan.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor menyediakan program kaunseling dan motivasi.

"Saya berharap agar usaha ini dapat membantu 1,000 anak Johor yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 dan memastikan kebajikan mereka juga sentiasa terjaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022 semasa Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini pada Khamis.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, sebanyak RM8.2 juta peruntukan di bawah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan disalurkan kepada 32,000 pelajar bagi membeli pakaian sekolah dan alat tulis.

Selain itu, katanya, sebanyak RM2.2 juta di bawah MAIJ diperuntukkan untuk bantuan yuran pendaftaran bagi 2,000 pelajar IPT.

Artikel Berkaitan: