UMP, IYRES kerjasama dalam teknologi data raya, pembangunan belia

Dr Yuserrie (dua dari kanan) dan Dr Muhammad Mahadi bertukar dokumen MoU dalam majlis yang berlangsung di Dewan Podium, Menara Kementerian Belia Dan Sukan, Putrajaya pada Khamis. - Foto UMP
Dr Yuserrie (dua dari kanan) dan Dr Muhammad Mahadi bertukar dokumen MoU dalam majlis yang berlangsung di Dewan Podium, Menara Kementerian Belia Dan Sukan, Putrajaya pada Khamis. - Foto UMP
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) memeterai memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik dalam teknologi data raya dan pembangunan belia di negara ini.

Kerjasama itu akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak dalam menghasilkan keluaran berpacukan sains data untuk dimanfaatkan semua pemegang taruh khususnya dalam aspek pembangunan belia.

Pengerusi Lembaga Pengarah IYRES, Dr Muhammad Mahadi Mohamad berkata, menerusi usahasama itu, IYRES sebagai sebuah institusi penyelidikan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memanfaatkan data hasil kajian pembangunan belia.

Menurutnya, pihak UMP pula dapat berkongsi kepakaran khususnya dalam konteks sains data yang dapat menyumbang ke arah penyediaan data raya.

“Saya yakin IYRES berada pada landasan tepat dengan adanya Hub Data Belia ini kerana ia merupakan pusat sehenti data-data terkini dan relevan berhubung pembangunan belia.

"Hub Analitik ini merupakan salah satu inisiatif yang digerakkan dalam menghasilkan keluaran berpacukan analitik data daripada data-data yang tersedia," katanya.

Kerjasama strategik antara UMP dan IYRES dimeterai di Dewan Podium, Menara Kementerian Belia Dan Sukan, Putrajaya pada Khamis.

MoU itu ditandatangani Dr Muhammad Mahadi mewakili IYRES, manakala UMP diwakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr Vellapandian Ponnusamy dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts Dr Kamal Zuhairi Zamli.

Dr Muhammad Mahadi berkata, hasil analitik yang dibangunkan bersifat diagnostik dan prediktif membolehkan pemegang taruh membuat keputusan dan perancangan berkaitan pembangunan belia dengan lebih objektif dan strategik.

Menurutnya, bagi melengkapkan inisiatif pengumpulan data untuk menyokong pelaksanaan hub analitik, gudang akan dibangunkan yang mana gerak kerja telah melibatkan pelaksanaan secara merentas kementerian atau jabatan dan agensi yang telah diimplementasikan melalui Ydata@IYRES.

Sementara itu, Dr Yuserrie berkata, MoU itu juga merupakan satu bentuk kerjasama bersama untuk memenuhi tugas dan fungsi kedua-dua belah pihak.

"Ia melibatkan kerjasama dalam menjalankan inisiatif penyelidikan, analisis data, kepakaran, penerbitan dan dalam penganjuran bersama forum, siri diskusi, seminar dan latihan dalam data raya serta pembangunan belia," katanya.

Tambah beliau,usahasama di antara UMP dan IYRES itu amat strategik dan bertepatan dengan perkembangan semasa dalam mendepani era revolusi industri 4.0 (IR 4.0).

"Ini kerana analitik data raya merupakan satu tonggak kemajuan teknologi masa depan," katanya.

Dalam majlis sama, delegasi UMP dan IYRES turut menyaksikan berlangsungnya 'Webinar Machine Learning & Data Science: The Future Impacts' sebagai inisiatif bersama dalam mendapatkan maklumat jelas berkaitan data sains ini.