MUFA anggota baharu komuniti bola sepak Malaysia

Barisan depan, dari kiri, Setiausaha Bahagian BPPD KPT, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Dr Mohd Zabri bersama Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan KPT, Dr Pekan Ramli (dua kanan) ketika majlis pelancaran pada Rabu.
Barisan depan, dari kiri, Setiausaha Bahagian BPPD KPT, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Dr Mohd Zabri bersama Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan KPT, Dr Pekan Ramli (dua kanan) ketika majlis pelancaran pada Rabu.
A
A
A

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT), membuka lembaran baharu sejarah sukan bola sepak tanah air apabila Persatuan Bola Sepak Universiti Malaysia (MUFA) ditubuhkan berjaya mendapat kelulusan pada 8 Jun lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Zabri Yusoff berkata, beliau yakin sukan bola sepak di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) akan berkembang pesat dengan penubuhan MUFA selaras matlamat negara yang mahukan permainan nombor satu dunia itu dapat beraksi di pentas global.

“MUFA telah memohon untuk bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala secara dasarnya pasukan IPT yang lain akan bernaung di bawah MUFA.

“Saya percaya sekiranya MUFA diterima sebagai ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), program pembangunan akar umbi serta urustadbir berkaitan sukan bolasepak di peringkat IPT semakin kemas dan menjadi penyumbang utama kepada skuad kebangsaan suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran MUFA dan kejohanan Pra U Cup 2021 yang diadakan secara atas hibrid pada Rabu.

Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan penganjuran kejohanan Pra U Cup yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 27 November di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.

Menurut Mohd Zabri, kejuaraan yang buat julung kalinya diadakan itu bertujuan untuk memberi ruang kepada para pemain belia di akademi bola sepak yang terpilih memperagakan aksi terbaik sebelum bermain di peringkat lebih tinggi.

“Penganjuran kejohanan Pra U Cup merupakan satu detik permulaan untuk KPT dalam memperkasakan keupayaan pemain di peringkat belia dengan beraksi dalam satu perlawanan peringkat kompetitif.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ada graduan akademi yang tercicir atau terpinggir daripada di pilih oleh mana-mana pasukan atau kelab, kejohanan ini akan menjadi batu loncatan untuk mereka dipilih menyambung kerjaya sebagai pemain dan juga pelajar di Institusi Pengajian Tinggi sekiranya terdapat IPT yang berminat dengan bakat mereka.

"Perkara ini secara tidak langsung akan meneruskan usaha KPT untuk melahirkan lebih ramai ‘The Thinking Athlete’ atau di sini lebih kepada ‘The Thinking Footballer,"katanya.

Sebanyak empat pasukan akan bertanding iaitu dua daripada AMD, Akademi Bola Sepak Felda, dan Malaysian University Football Team selaku tuan rumah kejohanan.