X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Naik taraf landasan kereta api Halogilat-Tenom siap tahun depan

Gambar internet
A
A

KUALA LUMPUR - Projek naik taraf landasan kereta api dari Halogilat ke Tenom, Sabah dijangka dapat diselesaikan awal tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong.

Beliau berkata, ia merupakan satu daripada dua projek berkeutamaan tinggi bagi menaik taraf infrastruktur untuk menambah baik pengangkutan kereta api di negeri berkenaan.

Menurutnya, satu lagi projek ialah perolehan tiga set Diesel Multiple Unit dan enam unit Non-Powered Car yang juga dijangka dapat diselesaikan pada awal tahun hadapan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Noorita Sual (PH-Tenom) mengenai inisiatif diambil kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf perkhidmatan pengangkutan kereta api Pangi di daerah Tenom pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Selain itu, Henry berkata, kerja-kerja tambahan menaik taraf perkhidmatan pengangkutan kereta api di kawasan Gorge Line, Sabah antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.

Menurutnya, projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) itu setakat ini telah mencapai kemajuan fizikal 99.5 peratus.

“Projek ini telah diperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi tahun 2022 untuk perakuan akaun dan bayaran muktamad,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!