PRN Melaka: Tiga fokus utama di Paya Rumput

Shamsul.- Foto fail Bernama
Shamsul.- Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin akan memberi fokus menyelesaikan isu banjir, infrastruktur dan kesalinghubungan internet sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN Melaka).

Shamsul Iskandar memberitahu, beliau mendapati isu berkenaan merupakan antara masalah utama berdasarkan aduan diterima ketika menghubungi lebih 65 peratus pengundi di kawasan itu dengan menggunakan pendekatan pusat panggilan.

“Apabila saya tengok trend, ada tiga perkara utama, satu ialah isu banjir dan saya dah tengok mana-mana kawasan yang kita rasa perlu dibaiki, dari segi penyenggaraan terutamanya.

“Kedua kesalinghubungan (internet), itu saya ingat menyeluruhlah, banyak orang buat aduan. Yang ketiganya infrastruktur, ini kadang-kadang benda remeh macam jalan berlubang dan tiada bonggol sedangkan ia (bonggol) penting bagi penduduk di situ, lebih-lebih lagi di jalan taman perumahan,” katanya di sini pada Khamis.

Justeru, Shamsul Iskandar yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, tiga isu itu akan menjadi fokus untuk beliau selesaikan dalam tempoh lima tahun sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Shamsul Iskandar berdepan saingan lima penjuru menentang Datuk Rais Yasin yang mewakili Barisan Nasional, Muhammad Faris Izwan Mazlan (Perikatan Nasional), Mohamad Hashidi Mohd Zain (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) dan Mohd Jaini Dimon (Bebas).

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my