Tidak lelong spektum untuk pastikan harga 5G murah

 Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak melelong spektrum 5G kepada operator rangkaian mudah alih (MNO) bagi memastikan harga rangkaian itu yang ditawarkan kepada pengguna lebih murah berbanding harga 4G.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia kerana harga spektrum yang dibayar MNO itu akan dicaj kepada pengguna.

Menurutnya, disebabkan itu spektrum berkenaan diberikan kepada Digital Nasional Berhad (DNB) yang menjadi penyedia tunggal perkhidmatan borong 5G negara.

"Ketika ini juga ramai yang membuat andaian mengenai spektrum yang diguna pakai dan negara akan guna pakai tiga bentuk spektrum untuk 5G yang berbeza harga.

"Saya dimaklumkan DNB bahawa harga spektrum dianggarkan sekitar RM6 bilion dan berdasarkan harga lelongan yang dibuat di sesetengah negara boleh mencapai RM15 bilion.

"Jadi lebih tinggi harga yang diambil, lebih mahal yang dicaj kepada pengguna sedangkan matlamat kerajaan memastikan harga 5G lebih murah daripada 4G," katanya di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) tentang kehilangan pendapatan negara ekoran penggunaan DNB sebagai penyedia tunggal perkhidmatan borong 5G negara.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, justeru DNB diberi mandat supaya pelaksanaan 5G lebih berdaya saing dari segi teknologi pada kos rendah.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, antara inovasi yang diperkenalkan DNB termasuk pengenalan kaedah Multi Operator Core Network (MOCN) yang membolehkan lima hingga enam MNO berkongsi satu operator.

Beliau memberitahu, perkongsian sehingga lima dan enam MNO dalam satu operator itu salah yang pertama di dunia kerana lazimnya di negara lain hanya maksimum tiga operator berkongsi pada sesuatu operator.

Annuar berkata, DNB ketika ini sedang melakukan perbincangan mengenai harga Tawaran Akses Rujukan (ROA) dengan MNO di bawah pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Setelah harga ROA ini ditetapkan barulah pelancaran 5G dapat dilakukan dengan kelulusan SKMM. Setakat ini SKMM belum memberi kelulusan kepada penetapan harga ini," katanya.