X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Kedah lulus had umur 18 tahun calon ADUN

Sidang DUN Kedah pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah (pindaan 2021) membenarkan hak usia umur calon diubah daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
A
A

ALOR SETAR - Kedah menjadi negeri terbaru yang membenarkan belia berusia 18 tahun bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada pilihan raya umum akan datang.

Keputusan itu dibuat selepas persidangan DUN Kedah pada Khamis sebulat suara meluluskan pindaan ke atas Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan penduduk berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya.

Rang Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah (pindaan 2021) dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diluluskan selepas mendapat sokongan dan dibahaskan oleh ADUN kerajaan dan pembangkang.

Antara ADUN kerajaan tampil berbahas dan menyatakan sokongan termasuklah ADUN Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat, ADUN Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor.

Pindaan usia kelayakan calon kerusi DUN turut mendapat sokongan beberapa ADUN pembangkang termasuk Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawi; ADUN Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf dan ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah telah membuat pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri berkaitan Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri berkaitan umur kelayakan calon diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Beliau berkata, pindaan yang dilakukan berkenaan selari dengan perkara 47 Undang-Undang Perlembangaan (Pindaan) 2019 yang diluluskan di Parlimen berkaitan hak usia 18 tahun.

"Undang-undang tubuh berkenaan memberi kebenaran dari segi undang-undang untuk warga berusia 18 tahun mengundi.

"Pindaan itu juga membolehkan anak muda turut serta dalam proses demokrasi di negara kita," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Tambah beliau, rang undang-undang itu mengandungi dua fasal, iaitu fasal satu ialah tajuk ringkas dan tarikh kuatkuasa enakmen yang dicadangkan dan fasal dua bertujuan meminda Perkara 46 untuk menurunkan umur warganegara yang layak menjadi ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Sehubungan itu katanya, DUN Kedah meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah (pindaan 2021) membenarkan hak usia umur calon diubah daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Justeru, Kedah kini mengikuti negeri lain yang yang meluluskan usia kelayakan calon kerusi DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun selepas Sabah, Perlis,Terengganu, Sarawak, Kelantan, Perak dan Pulau Pinang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!