56 ADUN Johor terima peruntukan tetap RM200,000 setiap tahun

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad hadir bagi membentangkan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis. - Foto Bernama
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad hadir bagi membentangkan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor termasuk pembangkang akan menerima peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setiap tahun.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, peruntukan itu bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serta bagi bantuan peruntukan kerja kecil di kawasan mereka.

"Kerajaan Johor bersetuju agar kesemua ADUN akan menerima peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setiap tahun bagi membantu mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.

"Sebagai tambahan untuk Belanjawan 2022, kerajaan Johor turut bersetuju memberikan tambahan sebanyak RM50,000 kepada setiap ADUN bagi tujuan bantuan perayaan besar seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, kerajaan Johor juga bersetuju untuk menjemput ADUN pembangkang menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) sebagai pemerhati.

Katanya, langkah itu sebagai maklum balas kepada permintaan ADUN pembangkang sebelum ini untuk terbabit sama di dalam jawatankuasa berkenaan.

"Saya berharap supaya peruntukan di atas selain penyertaaan ADUN pembangkang dalam JTPD, sedikit sebanyak dapat melegakan setiap ADUN dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya bahawa semangat Muafakat Bangsa Johor dapat meningkatkan kesediaan kita untuk menangani pelbagai cabaran masa depan," katanya.