Harga tinggi BTS ringankan kerugian peneroka Felda

Kenaikan harga buah tandan segar (BTS) sawit yang kini mencecah RM1,000 satu tan berupaya meringankan kerugian yang dialami peneroka Felda akibat kekurangan tenaga buruh asing untuk menuai hasil sawit di ladang mereka.
Kenaikan harga buah tandan segar (BTS) sawit yang kini mencecah RM1,000 satu tan berupaya meringankan kerugian yang dialami peneroka Felda akibat kekurangan tenaga buruh asing untuk menuai hasil sawit di ladang mereka.
A
A
A

KENAIKAN harga buah tandan segar (BTS) sawit yang kini mencecah RM1,000 satu tan berupaya meringankan kerugian yang dialami peneroka Felda akibat kekurangan tenaga buruh asing untuk menuai hasil sawit di ladang mereka.

Malah, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, para peneroka boleh menarik nafas lega berikutan berpeluang meningkatkan pendapatan apabila pengeluaran BTS diramal kembali pulih dengan bantuan pekerja asing yang dijangka kembali bekerja tidak lama lagi.

Menurutnya, secara purata mereka mampu meraih sekitar 10 hingga 12 tan BTS sebulan (RM1,000 satu tan) bagi pokok yang matang dengan mencatatkan pendapatan bersih antara RM7,000 hingga RM9,000 sebulan.

Sulong Jamil menyifatkan inilah masanya untuk para peneroka menjana pendapatan yang lebih besar dan simpanan untuk masa depan memandangkan harga BTS telah merosot sekitar RM300 satu tan pada dua tahun lepas.

“Disebabkan usia para peneroka kebanyakannya sekitar 60-an, mereka tidaklah begitu ghairah untuk menggunakan wang itu untuk tujuan menukar kereta baharu dan sebagainya.

“Sebaliknya, ia digunakan untuk melabur, misalnya di koperasi Felda atau agensi pelaburan lain," katanya kepada Bernama.

Menurut Sulong Jamil, pengumuman kerajaan untuk membenarkan semula kemasukan tenaga buruh asing menuai hasil sawit di ladang turut disambut baik oleh para peneroka.

Ini berikutan sebelum ini kira-kira 80,000 peneroka di seluruh negara dilaporkan menanggung kerugian sebanyak RM264 juta sebulan akibat kekurangan tenaga buruh asing.

Artikel Berkaitan:

“Kemasukan mereka (buruh asing) selepas ini dapat mengurangkan sedikit bebanan kami terutamanya dari segi pemotongan buah.

Daripada 32,000 pekerja asing yang bakal dibenarkan masuk ke negara ini tidak lama lagi, kira-kira 15,000 orang akan dibawa ke Felda,” katanya.

Kerja-kerja penuaian sawit dilakukan sebanyak dua pusingan pada setiap bulan iaitu berselang antara 15 hari hingga 20 hari bagi setiap pusingan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin baru-baru ini dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa masuk 32,000 warga asing untuk bekerja di sektor perladangan selepas mendapati rakyat tempatan tidak mampu mengisi kekosongan dalam bidang itu.

Beliau menjelaskan, perkara itu telah diluluskan oleh Kabinet dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Menurut Zuraida jualan minyak sawit dijangka meningkat kira-kira 40 peratus, sekali gus mampu memberi pulangan kira-kira RM20 bilion kepada negara sebelum hujung tahun ini.

Kata Zuraida, kemasukan pekerja asing perlu disegerakan bagi meningkatkan eksport negara memandangkan harga komoditi itu kini menunjukkan peningkatan meskipun ketika pandemik Covid-19. - Bernama