X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

19 individu jual, guna darjah kebesaran Kedah palsu ditahan

Antara aksesori dan darjah kebesaran negeri Kedah palsu yang digunakan oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti penjualan darjah kebesaran Kedah.
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah menahan seramai 19 lelaki dan wanita disyaki terbabit kegiatan penjualan dan penggunaan darjah kebesaran negeri Kedah yang tidak diiktiraf dalam operasi bermula 7 November lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 63 tahun itu dikesan menggunakan darjah kebesaran Setia Diraja Kedah (DSDK) sebelum mendapat kurniaan Sultan Kedah.

"Tangkapan itu dibuat setelah pihak polis menerima aduan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada 5 Oktober lalu.

"Penahanan itu melibatkan individu daripada pelbagai latar belakang yang dibuat di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kedah dan beberapa negeri lain di Semenanjung Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, penahanan tersebut membawa kepada rampasan beberapa barangan termasuk aksesori dan dokumen serta peralatan berkaitan yang digunakan oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

"Antara yang dirampas adalah kad keahlian Jemaah Dato-Dato Negeri Kedah yang palsu, jata negeri dan beberapa barang berkaitan dengan darjah kebesaran tersebut," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket ini mulai aktif sejak tahun 2015 dengan mendekati individu yang dikenal pasti sebagai golongan elit dan ahli perniagaan serta menawarkan gelaran darjah kebesaran negeri Kedah dengan bayaran antara RM25,000 hingga RM103,000.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah menjadi mangsa kepada sindiket seperti ini. Jika sesiapa yang menerima anugerah secara tidak diiktiraf boleh menyemak status melalui kerajaan negeri Kedah di saluran rasmi yang telah ditetapkan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!