Nuridah dipilih semula sebagai Ahli Dewan Negara

Nuridah Mohd Salleh
Nuridah Mohd Salleh
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Khamis sebulat suara meluluskan usul melantik semula Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh sebagai Ahli Dewan Negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan Nuridah dilantik semula bagi mewakili Terengganu untuk tempoh tiga tahun.

“Semoga penyertaan beliau (Nuridah) mewakili Terengganu akan memberikan sesuatu sumbangan kepada agama dan negeri,” kata Ahmad Samsuri pada persidangan DUN di Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.

Nuridah, 60, yang berasal dari Kampung Padang Buloh, Pekan, Pahang mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Agama Kuala Rompin dan menyambung pengajian ke peringkat Diploma Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ijazah Pengubatan Islam di Darussyifa’.

Pendakwah bebas itu pernah bertanding di Parlimen Rompin pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan Parlimen Sungai Buloh pada PRU14, manakala pada PRU12, beliau bertanding bagi kerusi DUN Tahan.

Ibu kepada 10 orang anak itu turut aktif dalam persatuan dan menyertai program kemanusiaan seperti Misi Kemanusiaan ke Syria, Myanmar, Bangladesh, Jerman dan Republik Czech. - Bernama

Artikel Berkaitan: