Kadar kemiskinan, pengangguran di Johor meningkat

Datuk Hasni Mohammad
Datuk Hasni Mohammad
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pandemik Covid-19 menyebabkan kadar kemiskinan tegar di Johor meningkat kepada 5.9 peratus pada tahun lalu berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kesan pandemik turut mengakibatkan kadar pengangguran meningkat kepada 3.9 peratus tahun lalu dan jumlah penduduk yang berada di luar tenaga buruh formal juga bertambah.

"Ekonomi Johor terkesan akibat Covid-19 namun persekitaran ekonomi dan unjuran terkini menunjukkan ekonomi negeri akan beransur pulih.

"Selepas penguncupan sebanyak 4.6 peratus pada tahun 2020, ekonomi negeri diunjurkan berkembang sekitar3.5 sehingga 4.1 peratus pada tahun 2021 dan akan terus tumbuh pada tahap pra-krisis dalam separuh pertama tahun 2022," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022 bagi Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 di sini pada Khamis.

Hasni memberitahu, prospek ekonomi yang semakin baik memperluaskan peningkatan dalam peluang pekerjaan tahun ini.

"Statistik terkini daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan jumlah jawatan kosong sudah semakin meningkat daripada 14,101 pada September kepada 16,576 pada Oktober," katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri akan memberikan sepenuh perhatian bagi memastikan rakyat yang terkesan dibantu sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Kita sebenarnya masih bergelut dengan kesan pandemik Covid-19 walaupun kadar vaksinasi populasi dewasa di Johor mencecah 97 peratus.

"Justeru sebanyak RM90 juta akan disalurkan bagi meneruskan program bantuan Kasih Johor dengan menambah bilangan penerima daripada 300,000 penerima kepada 450,000 penerima terdiri daripada golongan B40.

"Bagi golongan asnaf pula, sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan untuk kebajikan sosial dan institusi. Diharapkan usaha ini akan memanfaatkan anak-anak yatim, warga tua yang tidak berwaris, persatuan orang kurang upaya dan lain-lain," katanya.