Duit Pas ada dalam poket ahli parti

Iskandar (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada pembentang seminar itu
Iskandar (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada pembentang seminar itu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd Samad mengakui kebanyakan program yang dilaksanakan parti itu dibiayai sendiri oleh ahli-ahli mereka.

Menurutnya, perkara itulah yang menjadi kelebihan buat parti yang berteraskan Islam berkenaan hingga berjaya menganjurkan pelbagai program berskala besar.

"Kita bukan mahu bercakap besar tetap itulah realitinya yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Pas. Sebut sahaja berapa yang kita inginkan untuk laksanakan sesebuah program, ahli-ahli akan sama-sama membantu menghulurkan sumbangan.

"Sebab itulah kita tidak bergantung kepada sumber bendahari semata-mata kerana duit Pas ada dalam poket ahli-ahli kita,"katanya ketika ditemui pada Seminar Perpaduan Nasional Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Mencari Formula Kepada Hubungan Antara Kaum Yang Lebih Harmoni' di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Bendahari Pas Pusat, Asmuni Awi yang mempersoalkan dana kewangan yang dibelanjakan parti itu dalam program berskala besar kerana tidak pernah mengambil duit daripada akaun Pas.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan Asmuni itu, Iskandar menyifatkan bekas bendahari itu seorang yang tidak membuat kerja apabila mempersoalkan sumber kewangan berkenaan.

"Kalau beliau seorang yang benar-benar melakukan tanggungjawab dan melakukan tugas sepatutnya beliau tahu tentang perkara itu (ahli-ahli banyak menyumbang).

"Saya pun tidak baca secara mendalam kenyataan beliau (Asmuni) dan saya tidak mahu membuat ulasan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Asmuni yang kini Pengerusi Amanah Perak mendakwa, ada program-program yang dianjurkan Pas sejak 2015 menelan kos jutaan ringgit, tetapi tidak meminta bajet daripadanya selaku Bendahari Pas Pusat pada waktu itu.