Belanjawan Johor catat defisit dua tahun berturut-turut

Hasni (tengah) sebelum membentangkan Belanjawan Johor 2022 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis. - Foto Pejabat MB Johor
Hasni (tengah) sebelum membentangkan Belanjawan Johor 2022 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis. - Foto Pejabat MB Johor
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri Johor pada Khamis membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM286.47 juta berbanding RM248.14 juta pada tahun lalu.

Belanjawan Johor 2022 yang bertemakan 'Memperhebat Kesejahteraan Johor' menyaksikan peningkatan defisit sebanyak RM38.33 juta selepas merekodkan lebihan 10 tahun berturut-turut sebelum ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, unjuran hasil negeri pada tahun hadapan dijangkakan berjumlah RM1.671 bilion, manakala unjuran perbelanjaan adalah RM1.958 bilion.

“Tema Belanjawan Johor 2022 sejajar dengan hasrat kerajaan negeri memastikan kelangsungan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Belanjawan ini amat bermakna kerana kerajaan negeri mempergiatkan usaha memberi suntikan serta lonjakan baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial yang mampan, juga berdaya tahan.

“Segala pertimbangan dalam Belanjawan Johor 2022 akan dipandu dua asas utama iaitu pertama mendekati dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat Covid-19. Seterusnya, mempergiatkan usaha memulihkan sektor-sektor ekonomi secara menyeluruh,” kata ketika membentangkan belanjawan tersebut pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Khamis.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, sebanyak RM1.087 bilion diperuntukkan untuk tahun depan bagi perbelanjaan mengurus, sementara RM870 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Katanya, perbelanjaan itu akan digunakan bagi melaksanakan empat indikator dan 12 agenda utama dalam belanjawan tersebut.

“Dari segi anggaran hasil dan defisit kerajaan negeri, ia tertakluk kepada beberapa faktor. Antaranya seperti kemunculan varian Covid-19 yang tinggi, impak sosial yang tinggi dan pembukaan sempadan antarabangsa," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengenai prestasi pelaksanaan Belanjawan Johor 2021 pula, ujar beliau, sebanyak 141 inisiatif dengan peruntukan keseluruhan RM850 juta telah mencapai 85.1 peratus pelaksanaan setakat suku ketiga tahun 2021.

"Selepas Johor mengalami penguncupan 4.6 peratus pada tahun 2020, ekonomi negeri Johor diunjurkan berkembang sekitar 3.5 peratus sehingga 4.1 peratus pada tahun ini.

"Ekonomi Johor dijangka terus mengalami pertumbuhan pada tahap prakrisis pada separuh tahun hadapan," tambah beliau.