X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Bank Negara lantik semula tiga ahli Majlis Penasihat Shariah

Bank Negara Malaysia
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 November lalu.

BNM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pelantikan semula ahli-ahli MPS itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut peruntukan seksyen (53) (1), Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Menurut kenyataan itu, ahli yang dilantik semula itu ialah Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Ketua Jaminan Kualiti, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA), Dr Marjan Muhammad dan Pengasas dan Rakan Kongsi Kanan, Zainal Abidin & Co (Peguambela dan Peguamcara), Zainal Abidin Jamal.

"Dengan pelantikan semula ini, MPS dibarisi sembilan ahli yang berkelayakan serta berwibawa dalam kalangan cendekiawan syariah dan pengamal industri yang berpengalaman luas di dalam dan luar negara, terutamanya dalam bidang syariah, undang-undang serta ekonomi dan kewangan Islam," kata kenyataan itu.

Enam lagi ahli MPS yang dilantik sebelum ini ialah Pengerusi MPS iaitu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Timbalan Pengerusi MPS iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, ISRA International Consulting Sdn Bhd, Profesor Dr Ashraf Md Hashim; Pengarah Eksekutif, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA), Profesor Dr Mohamad Akram Laldin; Profesor Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali; bekas Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Malaysia (EAIC) dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk A Aziz A Rahim dan bekas Ketua Unit Takaful, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA), Burhanuddin Lukman.

Jelas kenyataan itu, MPS memainkan peranan penting bagi memelihara kepatuhan syariah dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam yang membolehkan perkhidmatan kewangan ditawarkan mengikut prinsip syariah.

"MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu syariah yang berkaitan dengan perniagaan, aktiviti-aktiviti, atau transaksi-transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh BNM. Sebagai badan berautoriti tertinggi, keputusan MPS menjadi sumber rujukan institusi-institusi kewangan Islam dalam memastikan semua perniagaan dan aktiviti serta produk dan perkhidmatan kewangan adalah mematuhi prinsip syariah.

"Selain itu, keputusan MPS juga menjadi rujukan mahkamah dan penimbang tara dalam mengendalikan dan memutuskan pertikaian atau kes-kes yang berkaitan kewangan Islam," kata kenyataan itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!