Kerajaan Persekutuan salur RM784 juta kepada Melaka tahun depan

Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM784 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan untuk diberikan kepada Melaka pada tahun hadapan sebagai pemberian tahunan dan perbelanjaan pembangunan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM210 juta di bawah pemberian tahunan, manakala RM574 juta menerusi perbelanjaan pembangunan bagi menampung 171 projek pembangunan.

"Daripada 171 projek yang diluluskan bagi negeri Melaka, sejumlah 39 merupakan projek baharu yang telah diluluskan untuk tahun hadapan melibatkan peruntukan berjumlah RM51.8 juta.

"Selain itu, rakyat Melaka juga akan terus menerima bantuan tunai dengan anggaran peruntukan melebihi RM300 juta yang bakal memanfaatkan hampir 300,000 penerima melalui bantuan bulanan kebajikan masyarakat serta Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)," katanya ketika pertanyaan menteri di sidang Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai peruntukan dan bantuan yang diberikan kepada rakyat dan kerajaan negeri Melaka untuk tahun 2021 serta Bajet 2022.

Setiausaha Agung UMNO itu juga meminta kerajaan menyebutkan projek-projek baharu kerajaan negeri Melaka yang mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan Pusat untuk tahun 2022.

Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhan untuk tahun 2021, peruntukan yang diberikan kerajaan Persekutuan kepada Melaka dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion menerusi pakej rangsangan ekonomi, peruntukan pembangunan dan pemberian kerajaan Persekutuan.

Daripada jumlah itu, katanya, kerajaan telah menyalurkan hampir RM500 juta bantuan tunai kepada lebih 300,000 penerima melalui bantuan bulanan kebajikan masyarakat, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sebanyak RM155 juta pula disalurkan melalui bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) yang memanfaatkan hampir 37,000 perusahaan mikro dan kecil.

"Sejumlah RM150 juta yang disalurkan melalui Program Subsidi Upah memanfaatkan lebih 5,000 majikan serta menyelamatkan lebih 49,000 pekerjaan.

"Selain daripada bantuan tunai melalui pakej bantuan dan rangsangan ekonomi, kerajaan

Persekutuan juga menyediakan peruntukan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan di Melaka," jelas beliau.

Tengku Zafrul berkata, untuk tahun ini sahaja, sejumlah RM534 juta telah disediakan di bawah Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Melaka melibatkan sebanyak 161 projek.

Beliau berkata, peruntukan berjumlah RM205 juta pula diberikan di bawah pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Melaka.