Muhyiddin hadir pembentangan Belanjawan Johor 2022

Sesi pembentangan Belanjawan Johor 2022 berlangsung di Bangunan Sidang DUN Kota Iskandar pada Khamis. (Gambar kecil: Tan Sri Muhyiddin Yassin)
Sesi pembentangan Belanjawan Johor 2022 berlangsung di Bangunan Sidang DUN Kota Iskandar pada Khamis. (Gambar kecil: Tan Sri Muhyiddin Yassin)
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke sesi pembentangan Belanjawan Johor 2022 di Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Khamis.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu tiba kira-kira jam 9.15 pagi.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kemudiannya mengambil tempat duduk di barisan sama dengan dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Osman Sapian (Bersatu -Kempas) dan Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bersatu-Bukit Kepong).

Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor ke-13 pada 1986 hingga 1995 selepas memenangi kerusi DUN Bukit Serampang.

Bagaimanapun Osman tidak hadir pada pembentangan Belanjawan Johor 2022 pada Khamis berikutan masih berehat selepas diserang angin ahmar pada 13 Oktober lalu.

Osman dilaporkan telah menyerahkan surat ketidakhadirannya ke persidangan DUN Johor yang diadakan bermula hari ini sehingga 28 November lalu, kepada Jurutulis DUN Johor, petang Rabu.

Surat ketidakhadiran itu sebagai maklum balas surat jemputan daripada Pejabat Jurutulis. Difahamkan bekas Menteri Besar Johor itu kini sedang menjalani fisioterapi pemulihan.

Pada 12 November lalu, Muhyiddin menyelar tindakan dibuat veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad agar Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor diketuai Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad daripada UMNO.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya boleh berbuat demikian namun adalah tidak wajar untuk mengheret rakyat Johor menerima nasib sama seperti rakyat Melaka setelah apa yang dilakukan UMNO di Melaka.

"Jangan cabar saya, saya pemimpin Bersatu, PN. Nasib rakyat adalah yang utama. Shahril tidak fikir. Dia nak mencabar saya, saya boleh buat. Sekarang pun saya boleh tekan 'button', semua jatuh. Kamu nak itu berlaku?," katanya.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu) sementara Parti Amanah Negara ( Amanah) (enam) dan Parti Keadilan Rakyat ( PKR) pula (tujuh).

Kerajaan Johor diketuai Hasni memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi ( UMNO, Bersatu, Pas dan MIC) berbanding 27 kerusi di blok pembangkang (PKR, DAP dan Amanah).