Spesies cendawan beracun disalah anggap kulat tahun

 Sembilan beranak di Kampung Nyiur, Paka di Dungun sakit perut dan muntah darah setelah menikmati hidangan sayur cendawan goreng yang dipercayai beracun, minggu lalu.
Sembilan beranak di Kampung Nyiur, Paka di Dungun sakit perut dan muntah darah setelah menikmati hidangan sayur cendawan goreng yang dipercayai beracun, minggu lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Spesies cendawan beracun iaitu Chlorophyllum molybdites sering disalah anggap sebagai kulat tahun atau nama saintifiknya Termitomyces Sp yang lazimnya dijadikan sebagai sumber makanan.

Ahli Mikologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Aqilah Mohammad berkata, ia disebabkan ciri-ciri fizikal yang hampir sama pada kedua-dua spesies tumbuhan tersebut menjadikan ia agak sukar untuk dikenalpasti.

"Spesies cendawan Chlorophyllum molybdites adalah cendawan yang sering dipetik untuk dimakan namun menyebabkan keracunan.

"Biasanya kes keracunan makanan berpunca daripada cendawan ini malah ia juga merupakan spesies daripada keluarga cendawan sama yang menyebabkan keracunan makanan seperti dialami sebuah keluarga di Dungun baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.

Dr Aqilah berkata, beberapa ciri yang ada pada organ cendawan beracun boleh dijadikan panduan bagi membolehkan ia dihindari antaranya memiliki struktur seperti cincin (ring) pada bahagian batang.

Dr Aqilah
Dr Aqilah

Selain itu, katanya, bahagian selaput putih yang membengkak pada bahagian pangkal batang cendawan (volva) di dalam tanah juga menjadi antara kaedah bagi mengenalpasti jenis cendawan beracun.

"Cendawan beracun mempunyai kandungan toksin berbahaya seperti amatoxin yang berisiko menyebabkan muntah dan cirit-birit malah terdapat beberapa spesies yang menyebabkan halusinasi kepada mereka yang tersalah makan.

Artikel Berkaitan:

"Ciri-ciri cendawan beracun juga boleh diketahui daripada kearifan tempatan iaitu ilmu yang diturunkan daripada generasi ke generasi masyarakat dan ada juga telah dibuktikan secara saintifik," katanya yang menjalankan kajian berkaitan fungus dan cendawan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM) UMT itu berkata, terdapat beberapa spesies cendawan berwarna terang termasuk dalam kategori cendawan beracun, namun ia meliputi sebilangan spesies sahaja kerana ada juga spesies yang boleh dimakan.

"Terdapat juga cendawan tidak beracun tumbuh bersebelahan cendawan beracun, sebab itulah perlu berhati-hati supaya tidak tersalah petik.

"Mengenai mitos orang tempatan yang mengatakan cendawan beracun tidak dihurung semut, ia belum dapat dibuktikan secara saintifik namun persepsi bahawa semua cendawan yang tumbuh dan bersaiz besar boleh dimakan adalah berbahaya dan perlu diubah," katanya.

Dalam pada itu, Dr Aqilah mengingatkan kepada orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan di hospital sekiranya termakan cendawan beracun.

"Cendawan beracun memberi kesan berbeza kepada badan manusia mengikut sistem imun masing-masing dan ia amat berbahaya kerana boleh meragut nyawa.

"Segera ke unit kecemasan untuk rawatan. Jika boleh, bawa juga sampel makanan seperti cendawan liar yang masih mentah untuk pihak rujukan pihak hospital dan prosedur makmal," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan sembilan beranak di Kampung Nyiur, Paka di Dungun sakit perut dan muntah darah setelah menikmati hidangan sayur cendawan goreng yang dipercayai beracun, minggu lalu.