Ada sebab empat pemain JDT tak dipanggil

Cheng Hoe ketika sidang media mengumumkan senarai 28 pemain yang akan mengikuti kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan depan. -Foto: FB FAM
Cheng Hoe ketika sidang media mengumumkan senarai 28 pemain yang akan mengikuti kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan depan. -Foto: FB FAM
A
A
A
FAKTOR keletihan menjadi penyebab utama empat tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias, Corbin-Ong, Matthew Davies dan Arif Aiman Hanapi tidak berada dalam senarai 28 pemain bagi menjalani kem latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan depan.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, kesemua pemain berkenaan telah mengharungi jadual padat baik ketika bersama JDT mahupun skuad kebangsaan sepanjang tahun ini.

“Barisan kejurulatihan telah meneliti pelbagai aspek, sememangnya mereka sudah menjadi tonggak utama skuad kebangsaan dan kita tahu kualiti mereka. Mereka hadapi musim agak panjang dan tiada rehat dengan Kelayakan Piala Dunia 2022, Liga Juara-Juara Asia, Liga Super dan Piala Malaysia.

“Ketiadaan mereka juga beri peluang kepada pemain lain supaya kita boleh dapatkan kelompok pemain untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 (Jun 2022) nanti,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.

Cheng Hoe turut membuat keputusan untuk tidak membawa pemain muda meningkat naik JDT, Arif Aiman selepas mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan skuad Harimau Selatan itu.

“Kesimpulannya, kami terpaksa rehatkan Arif Aiman, bukan kita sengaja tinggalkan dia. Kalau kita lihat dia pemain muda yang berpotensi dan ia dapat dilihat dari segi permainannya.

“Jika lihat pemain muda ini (Arif Aiman), dia sentiasa bermain dalam perlawanan yang kompetitif, dia perlukan rehat. Saya pasti untuk tahun depan pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023, dia akan bersedia,” jelas Cheng Hoe.

Bagi memperkasa barisan Harimau Malaya, Cheng Hoe menggabungkan kombinasi pemain berpengalaman dan muda, antaranya Aidil Zafuan Abd Radzak, Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Muhammad Azri Ab Ghani dan Luqman Hakim Shamsudin.

Turut berada dalam senarai ialah penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula serta dua pemain - Shahrul Saad dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang disisihkan sebelum ini akibat kecederaan.
Artikel Berkaitan:


Pada masa sama, Cheng Hoe berkata, beberapa pemain tidak dapat dipanggil akibat kecederaan iaitu Muhamad Nor Azam Abdul Azih (lutut) dan Mohammad Syamer Kutty Abba (pangkal paha) selain Brendan Gan yang sedang dalam proses pemulihan akibat kanser testis.

“Kami sebenarnya mahu memanggil Brendan, Azam dan Syameer Kutty, tetapi pemain-pemain terbabit masih mengalami kecederaan dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

“Secara keseluruhan, kami rasa skuad ini ada kombinasi yang terbaik dari segi pemain berpengalaman dan juga pemain muda. Saya lihat kita mampu memberi tentangan pada kempen Piala AFF kali ini,” ujarnya.