Manfaatkan data bolehkan kerajaan buat keputusan cepat, tepat

Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Tan Sri Mohd Zuki Ali.
A
A
A

PUTRAJAYA - Memanfaatkan data daripada pelbagai sumber akan membolehkan kerajaan mendapat nilai, pemahaman mendalam dan bermakna serta membuat keputusan dengan cepat dan tepat, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, ia bertepatan dengan teras pertama Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 yang menetapkan Pemanfaatan Kepintaran Data bagi mengurus data sebagai aset kerajaan.

Beliau berkata, teras itu juga menyokong inisiatif MyDIGITAL dan Dasar 4IR Malaysia dari aspek penggubalan dasar perkhidmatan digital yang dipacu data, hasil daripada analisis data dan kecerdasan buatan dalam meningkatkan keberkesanan penawaran perkhidmatan kepada rakyat.

“Selaras dengan perkembangan semasa sekarang, kita semua harus mengakui bahawa data adalah aset yang paling berharga yang boleh digunakan bagi menghasilkan pelbagai inovasi serta produk yang boleh dimanfaatkan semua pihak.

“Ungkapan 'data is the new soil' sering kali kita dengar apabila bercakap tentang inovasi iaitu dengan bermulanya ekonomi digital, data telah menjadi ramuan utama untuk penghasilan inovasi dan merupakan agen utama bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dalam ekonomi digital,” katanya.

Mohd Zuki berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman pemenang Challenge on Innovation and Problem solving through Technology Advancement (CHIPTA) 2021 yang diadakan secara maya pada Rabu.

PSPSA 2021-2025 menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam bagi memacu agenda Kerajaan Digital yang mampan.

Mohd Zuki berkata, penguasaan teknologi digital merupakan kunci untuk negara mengatasi batasan produktiviti sekali gus menaik taraf ekonomi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Peranan teknologi digital ini terserlah lebih-lebih lagi semenjak setahun lalu apabila pandemik Covid-19 telah memberi cabaran getir kepada semua negara untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Keupayaan untuk merebut peluang yang muncul daripada teknologi dan model perniagaan inovatif, akan memainkan peranan penting dalam memacu enjin baharu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Mengenai CHIPTA, Mohd Zuki berkata, pelaksanaan program itu adalah selaras dengan agenda kerajaan iaitu memanfaatkan kepintaran data untuk penghasilan inovasi atau produk yang boleh diguna pakai oleh rakyat.

Beliau berharap semua produk yang dihasilkan melalui program CHIPTA 2021 dapat memberi impak yang signifikan dan nilai yang tinggi serta bermanfaat kepada pelbagai pihak terutamanya pihak yang terkesan dengan pandemik Covid-19 untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Mohd Zuki turut berharap Kementerian Kewangan dapat memberikan kerjasama dari segi peruntukan supaya produk-produk CHIPTA dapat diketengahkan dan dikomersialkan.

“Saya yakin dan percaya usaha ini akan dapat melahirkan Syarikat Awalan Digital (Startup) seterusnya menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan dan ekonomi negara serta kualiti hidup rakyat,” katanya.

CHIPTA 2021 bertemakan 'Catalyzing Innovation for New Norm & Better Future' diadakan sepenuhnya secara dalam talian bermula 2 Ogos sehingga 1 September lepas telah berjaya menarik penyertaan 123 pasukan.

Pertandingan terbahagi kepada empat kategori iaitu Sektor Awam, Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), Pelajar Sekolah Menengah dan Orang Awam/Industri dengan jumlah hadiah keseluruhan RM66,000.

Kumpulan Pharmacoders dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara diumumkan juara bagi kategori Sektor Awam dan kumpulan VarsityQuadro daripada Universiti Kebangsaan Malaysia adalah juara kategori Pelajar IPT.

Kategori Orang Awam/ Industri diungguli kumpulan Appkan Team manakala kumpulan AIA United dari Kolej Vokasional Sepang memenangi kategori Pelajar Sekolah Menengah. - Bernama