Najib hadir mesyuarat, usaha sama 1MDB dengan PSI betul

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu bahawa kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wakil PetroSaudi International (PSI) di London, United Kingdom pada Mei 2011 menunjukkan usaha sama 1MDB dengan PSI adalah betul.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, 57, berkata, mesyuarat itu telah diadakan di sebuah bilik suite yang Najib menginap di Hotel Dorchester, London dalam sesi lawatan BOD 1MDB ke pejabat PSI pada Mei 2011.

“Pada sesi lawatan tersebut, kami (ahli lembaga pengarah) telah dibawa ke pejabat PSI dan makan tengah hari bersama. Seterusnya, kami telah menghadiri mesyuarat dengan Datuk Seri Najib dan dua bekas pengarah PSI, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid di bilik suite tersebut.

“Seingat saya, saya juga ternampak kelibat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho or Jho Low di bilik suite itu,” katanya yang turut memaklumkan Jho Low tidak turut serta dalam mesyuarat berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata, demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Sebelum itu, Ismee berkata, lawatan ke pejabat PSI di London telah diatur pihak pengurusan 1MDB atas permintaan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin kerana 1MDB tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai PSI dan ingin bersemuka dengan wakil syarikat itu.

“Perjumpaan tersebut diadakan sewaktu Datuk Seri Najib berada di London tetapi saya tidak pasti kenapa ia perlu dilakukan sewaktu beliau (Najib) berada di sana.

“Kehadiran Datuk Seri Najib pada mesyuarat di Hotel Dorchester itu menunjukkan usaha sama antara 1MDB dan PSI adalah betul. Ahli Lembaga Pengarah turut berpuas hati apabila melihat pejabat PSI dan beranggapan bahawa syarikat tersebut adalah satu syarikat tulen,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ismee berkata, tiada sebarang agenda spesifik dibincangkan dan perjumpaan hanya mengenai pelaburan yang boleh dijalankan antara PSI dan 1MDB secara umum sahaja.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu pada 28 September 2009, 1MDB telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan PSI, yang 1MDB perlu membayar AS$1 bilion untuk memperoleh 40 peratus pegangan dalam syarikat itu manakala PetroSaudi Holdings Cayman (sebuah syarikat dikatakan anak syarikat PSI) hanya menyuntik aset bernilai AS$108 juta bagi mendapat 60 peratus saham.

Sementara itu, Ismee berkata, beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi bersetuju untuk menandatangani resolusi penangguhan terbitan bon Islamic Medium Term Notes (IMTN) berjumlah RM5 bilion pada 22 Mei 2009 kerana Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mahu ia ditangguhkan.

“Selepas kami menandatangani resolusi itu, kami telah berjumpa Datuk Seri Najib di kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi menerangkan apa yang berlaku ketika perjumpaan bersama Sultan Mizan di Istana Terengganu.

“Selepas mendengar penjelasan kami, respons pertama Datuk Seri Najib pada ketika itu adalah “mengapa anda tandatangan (resolusi) itu” dan “mengapa kami (Ismee dan Shahrol Azral) tidak memohon kepada Tuanku untuk memberikan masa kepada kami untuk berfikir.”

“Apa yang saya mampu katakan kepada Datuk Seri Najib, ia adalah titah daripada Tuanku, jadi apa yang mampu kami lakukan. Saya beranggapan dengan reaksi dan intonasi suara Datuk Seri Najib, beliau mahu terbitan bon IMTN itu diteruskan,” katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. -Bernama