Kesal majikan bersikap lepas tangan

Noor Sykira Syzlin dilaporkan kritikal selepas melecur 52 peratus anggota badan dan terpaksa menerima rawatan di ICU Hospital Melaka.
Noor Sykira Syzlin dilaporkan kritikal selepas melecur 52 peratus anggota badan dan terpaksa menerima rawatan di ICU Hospital Melaka.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang kakak kesal, apabila majikan bersikap lepas tangan dalam kejadian kemalangan di tempat kerja yang menimpa adiknya sehingga mangsa dilaporkan kritikal selepas melecur 52 peratus anggota badan dan terpaksa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Rosilawati Mat Ail, 37, berkata, kejadian itu berlaku pada jam 2.30 petang, 23 Februari lalu, ketika adiknya, Noor Sykira Syzlin Mat Ail, 22, sedang bekerja di sebuah kilang mengeluarkan komponen barangan elektrik di kawasan perindustrian Bukit Rambai, di sini.

Rosilawati mendakwa, kemalangan itu berpunca daripada kebakaran kecil sehingga mengakibatkan percikan api menyambar adiknya yang ketika itu sedang membersihkan peralatan.

"Adik sudah 15 hari dirawat di ICU kerana melecur pada kedua anggota kaki sehingga ke paras paha, kedua anggota tangan dan sebahagian anggota badan sehingga menjejaskan saluran pernafasannya.

"Yang kesalnya, apabila majikan tempatnya bekerja enggan bertanggungjawab dengan alasan adik baru tiga bulan bekerja dan belum confirm lagi," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Melaka, hari ini.

Menurutnya, setakat ini Noor Sykira Syzlin sudah enam kali menjalani proses pembedahan dan doktor memaklumkan dia perlu menjalani satu lagi pembedahan segera namun kos bagi membeli peralatan pembedahan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000.

Rosilawati menunjukkan slip gaji adiknya tertera pemotongan Perkeso.
Rosilawati menunjukkan slip gaji adiknya tertera pemotongan Perkeso.

"Kami merujuk kes adik ke Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) tetapi malangnya agensi itu beritahu adik tidak pernah mencarum.

Artikel Berkaitan:

"Yang menghairankan pada bahagian slip gaji adik ada tertera pemotongan Perkeso tetapi bila rujuk kepada pihak berkenaan, tiada sebarang rekod caruman," katanya.

Rosilawati berkata, dia tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa adiknya yang juga anak kelima dari lima orang adik beradik.

"Adik baru pertama kali mahu mencuba mencari rezeki di Melaka dan mula menetap di sini sejak tiga bulan lalu dengan menumpang di rumah salah seorang adik-beradik kami di Sungai Udang.

"Saya jadi buntu mengenangkan nasib apabila doktor yang merawatnya tidak berani memberi jaminan apa-apa, mungkin jika adik pulih, dia tidak sempurna seperti orang lain sedangkan perjalanan hidupkan masih panjang," katanya yang terpaksa mengambil cuti semata-mata untuk menjaga adiknya itu.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) adalah agensi kerajaan yang awal menghulurkan bantuan dengan menyerahkan sumbangan kecemasan berjumlah RM500.

Sumbangan diserahkan diserahkan Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Rizalman Syed kepada kakak sulung mangsa, Rosilawati.

Menurut Mohd Rizalman, sempena lawatan terhadap mangsa ke hospital berkenaan, pihaknya turut menyumbang barangan keperluan serta lampin pakai buang.

"Kes Noor Sykira Syzlin akan dipanjangkan ke mesyuarat jawatankuasa kecil agihan bantuan MAIM Khamis inI untuk dipertimbangkan bantuan keperluan peralatan perubatan yang dianggarkan berjumlah RM10,000," katanya.