Kerajaan salur RM19.209 bilion bagi program subsidi upah

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM19.209 bilion bagi Program Subsidi Upah (PSU) setakat 29 Oktober 2021 dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan tersebut melibatkan seramai 356,193 majikan bagi mengekalkan penggajian 2,940,485 pekerja tempatan.

Katanya, sebanyak RM3.319 bilion telah disalurkan menerusi PSU 3.0 untuk mengekalkan penggajian 1,511,204 pekerja manakala RM1.542 bilion telah disalurkan kepada 119,904 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 1,424,161 pekerja di bawah PSU 4.0.

“Melalui PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja selama empat bulan.

“Had gaji RM4,000 juga telah dilonggarkan yang membolehkan majikan memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih daripada RM4,000,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-76 yang dikeluarkan hari ini.

Bagi Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS), Tengku Zafrul berkata, setakat 29 Oktober lepas, sebanyak 87 syarikat telah memohon dan jumlah jaminan yang telah diluluskan adalah sebanyak RM2.035 bilion bagi 57 buah syarikat.

Sementara itu, katanya sejumlah RM88.6 juta telah disalurkan kepada 13,889 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk langganan perkhidmatan digitalisasi. - Bernama

Artikel Berkaitan: