Cadang mansuh rekod penjara bagi bekas banduan mohon kerja

Saravanan (tengah) bergambar bersama sebahagian wakil syarikat yang terlibat sama dalam Program 'Second Chances & Opportunities for People to Excel' (SCOPE) di sebuah hotel pada Rabu. - Foto Bernama
Saravanan (tengah) bergambar bersama sebahagian wakil syarikat yang terlibat sama dalam Program 'Second Chances & Opportunities for People to Excel' (SCOPE) di sebuah hotel pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) mencadangkan supaya maklumat berkaitan kemasukan ke penjara dalam kalangan bekas banduan dimansuhkan bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, ini kerana rekod kemasukan penjara bekas banduan yang boleh disemak oleh majikan menjadi kekangan yang menggagalkan usaha golongan itu ketika memohon pekerjaan.

“Saya cadangkan data tersebut (penjara) dikekalkan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi dari segi akses kepada pihak ketiga tidak perlu sekiranya bekas banduan itu memohon pekerjaan.

“Mungkin bagi KDN data itu untuk tujuan keselamatan, tapi saya berpendapat ada jalan penyelesaian lain dan perkara ini saya akan bincangkan dengan Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program Second Chances and Opportunities for People to Excel (SCOPE), di sini pada Rabu.

Saravanan berkata majikan seharusnya memberikan peluang pekerjaan kepada bekas banduan yang tidak lagi mengulangi jenayah atau kesalahan lampau, supaya mereka dapat membina kehidupan baharu yang lebih baik seterusnya menjalani kehidupan normal bersama masyarakat.

Dalam pada itu, mengenai progam SCOPE yang dilaksanakan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Saravanan berkata ia bertujuan membantu bekas banduan menjalani latihan kemahiran industri dan peluang penempatan pekerjaan.

Menurutnya bagi fasa pertama projek rintis itu tahun ini, kementerian menyasarkan 1,000 bekas banduan menerusi penglibatan 20 majikan daripada pelbagai sektor dengan gaji ditawarkan antara RM1,200 dan RM2,500.

“Bagi fasa kedua tahun depan 5,000 orang lagi disasarkan dan fasa ketiga yang dijangka dilaksanakan pada 2023 pula seramai 15,000 orang,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: