X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Kedah akan terus tuntut hak daripada kerajaan Persekutuan

Muhammad Sanusi
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan terus menuntut hak negeri itu termasuk bayaran pampasan daripada kerajaan Persekutuan walaupun hasrat itu mungkin menimbulkan kemarahan pihak tertentu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan terbabit dibuat bukan atas kepentingan dirinya sebaliknya untuk manfaat rakyat serta masa depan Kedah.

Menurutnya, tuntutan pelbagai bayaran itu akan dibangkitkan semula pada pertemuan bersama Kementerian Kewangan (MOF) selepas dimaklumkan terdapat permohonan telah ditolak.

“Hari ini, saya mendapat surat balasan Kementerian Kewangan memaklumkan tidak dapat pertimbangkan permohonan Kedah untuk dapatkan bayaran bagi mengekalkan tanaman padi berjumlah RM111 juta.

“Kita juga minta tuntutan untuk pengekalan hutan simpan RM100 juta, selain bayaran air mentah daripada Pulau Pinang sebanyak RM50 juta. Semua itu akan saya bangkitkan dalam pertemuan bersama kementerian sehingga mereka jemu dan mungkin akan bayar pada Kedah,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sebelum ini Kedah hanya dibayar wang pajakan Pulau Pinang berjumlah RM10,000 setahun, namun jumlah itu ditambah kepada RM10 juta setahun oleh kerajaan Persekutuan pada 2018.

“Itu selepas kita kemukakan tuntutan. Sekarang pun kita sedang berusaha supaya bayaran pajakan itu dibuat mengikut penilaian semasa dan jumlah yang dianggap wajar adalah RM100 juta.

“Saya anggap jika hak saya (Kedah), saya akan tuntut hingga nyawa terkorban, ini cara saya," katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi agak lantang menyuarakan tuntutan bayaran pajakan Pulau Pinang RM100 juta selain turut meminta negeri itu membayar caj pengambilan air mentah dari Sungai Muda.

"Saya sudah banyak kali hantar surat kepada kerajaan Persekutuan, sekarang kita sedang usaha naikkan bayaran pajakan Pulau Pinang pula.

"Saya tuntut semua ini untuk rakyat Kedah. Saya bukan suka cari gaduh, tetapi saya berani 'pulun' bagi dapatkan hak itu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!