Keputusan gantung tugas pesawat Hawk selepas siasatan selesai

Hishammuddin Tun Hussein (tengah) pada sidang media berhubung insiden kemalangan pesawat pejuang HAWK di Butterworth di bilik gerakan BN Klebang pada Rabu. - Foto Bernama
Hishammuddin Tun Hussein (tengah) pada sidang media berhubung insiden kemalangan pesawat pejuang HAWK di Butterworth di bilik gerakan BN Klebang pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Keputusan untuk menggantung penggunaan pesawat pejuang Hawk akan ditentukan selepas siasatan khas tragedi kemalangan yang mengorbankan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth selesai.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sebarang ketetapan juga akan dibuat berdasarkan laporan terperinci daripada Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Udara (PTU), Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

"Ketika berlaku (insiden kemalangan pesawat Hawk) dahulu, kita memutuskan untuk menggantung penggunaan semua pesawat (Hawk).

"Namun, itu bukan keputusan saya. Ia mesti datang daripada keputusan ATM dan TUDM. Sebab itu, kita serahkan kepada mereka yang lebih pakar. Saya percaya Panglima ATM dan TUDM boleh melaporkan kepada saya keperluan mereka berhubung kait dengan penggunaan pesawat Hawk ini," katanya pada sidang akhbar berhubung insiden kemalangan pesawat pejuang HAWK di Butterworth di bilik gerakan BN Klebang pada Rabu.

Hishammuddin bagaimanapun menafikan pesawat Hawk berkenaan akan dikomersialkan, sebaliknya masih digunakan untuk tujuan latihan.

"Saya tidak menerima sebarang laporan. Namun, berkenaan perincian tentang Hawk, kita perlu tunggu sehingga keputusan siasatan berhubung puncanya selesai.

"Sebab itu saya tidak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan untuk mengelirukan dan mengeruhkan keadaan," ujarnya.

Ditanya adakah terdapat keperluan untuk mempercepatkan pembelian aset baharu susulan insiden kemalangan tersebut, Hishammuddin berkata, ia bergantung kepada keutamaan TUDM.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, usia pesawat berkenaan tidak menjadi isu selagi ia diselenggarakan dengan baik.

"Perancangan kita untuk mengadakan pesawat-pesawat lain adalah dari dulu. Keduanya ialah dalam keadaan ekonomi kerana Covid-19, kita kena meletakkan keutamaan tertentu untuk peruntukan sedia ada.

"Saya menyerahkan kepada TUDM untuk menentukan sama ada mereka memerlukan aset baharu yang mungkin mengambil masa untuk diterima, atau kewangan sekarang ini digunakan untuk menyelenggara aset-aset sedia ada," ujarnya.

Sebelum itu, Hishammuddin di laman Twitternya berkongsi kesedihan dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua juruterbang terlibat.

Dalam kejadian itu, Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, meninggal dunia dan Mejar Mohd Fareez Omar, 33, mengalami kecederaan apabila pesawat TUDM dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, Butterworth terhempas pada malam Selasa.

Nahas itu berlaku ketika kedua-dua juruterbang itu sedang melaksanakan latihan penerbangan (Night Flying).