X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Hotel di Negeri Sembilan perlu dapatkan sijil halal: MB

Aminuddin
A
A

SEREMBAN - Pengusaha hotel di Negeri Sembilan digalakkan membuat permohonan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, sijil berkenaan dapat memberi lebih keyakinan kepada pengunjung untuk menginap di hotel dan makan tanpa berasa ragu pada masa akan datang.

"Ia bukan bermaksud orang Islam tak boleh menginap di hotel yang tiada sijil halal kerana kadang-kadang ada yang sekadar mahu menginap saja, bukannya mahu pergi makan di kafe disediakan.

"Ia bergantung kepada diri sendiri mahu memilih menginap di mana, cuma kita sangat mengalakkan pengusaha hotel untuk buat permohonan sijil halal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta untuk mengulas mengenai laporan hanya 15 hotel di negeri ini memiliki SPHM yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Dalam perkembangan lain, mengenai penjawat awam di negeri ini yang masih menolak vaksin Covid-19 beliau berkata, seramai 27 orang daripada 6,618 penjawat awam di seluruh negeri masih enggan menerima suntikan berkenaan.

Aminuddin turut menyuarakan kebimbangan jumlah kes Covid-19 di negeri ini meningkat berbanding negeri Melaka yang sedang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Kes Covid-19 ini seperti ‘yoyo’, ia turun naik....apa yang membimbangkan saya kes di Negeri Sembilan melebihi daripada Melaka dari hari ke hari...ini harus jadi perhatian kerana PRN adalah di Melaka tapi kenapa kes di negeri kita pula yang tinggi," katanya.

Justeru beliau menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan bagi membendung penularan Covid-19. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!