Belum ada arahan lanjut siasat dakwaan pindah wang RM13 juta

Shaharom Nizam
Shaharom Nizam
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah belum menerima arahan daripada Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk melakukan siasatan lanjut berkaitan dakwaan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang dipindahkan ke akaun luar negara.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, pihaknya juga masih belum menerima laporan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung pendedahan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada September lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sudah mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan sebelum mengemukakan kepada ibu pejabat untuk arahan selanjutnya.

"Belum ada apa-apa lagi perkembangan. Setakat ini tidak ada pihak tampil termasuk daripada pembangkang (Dewan Undangan Negeri) untuk membuat laporan rasmi kepada SPRM," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Aprisiasi SPRM Kedah di sini pada Rabu.

Pada September lalu, Muhammad Sanusi mendedahkan terdapat rekod membuktikan berlaku pemindahan wang milik MBI Kedah sebanyak RM13 juta yang dimasukkan ke akaun bank di luar negara.

Beliau menegaskan, transaksi itu berlaku ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerajui kerajaan negeri Kedah.

Mukhriz dalam kenyataannya memandang serius dakwaan tersebut dan meminta Muhammad Sanusi membuat laporan kepada SPRM.

Artikel Berkaitan: