Empat bot nelayan Vietnam ditenggelamkan, jadi tukun tiruan

Empat bot nelayan Vietnam yang ditenggelamkan di perairan Pulau Perhentian, Besut pada Rabu untuk dijadikan tukun tiruan. - Foto Maritim Terengganu
Empat bot nelayan Vietnam yang ditenggelamkan di perairan Pulau Perhentian, Besut pada Rabu untuk dijadikan tukun tiruan. - Foto Maritim Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat bot nelayan Vietnam yang telah dilucuthak oleh mahkamah ditenggelamkan di perairan Pulau Perhentian di Besut pada Rabu untuk dijadikan sebagai tikun tiruan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sebelum ini, kesemua bot itu bersama 39 kru termasuk tekong warga Vietnam ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Pekan; KM Langkawi dan KM Gemia menerusi Ops Naga Barat dan Ops Kuda Laut.

Beliau berkata, keempat-empat bot itu dilucuthak oleh mahkamah pada tahun ini selepas disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) dan 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Menurutnya, jumlah keseluruhan denda mahkamah bagi empat bot tersebut ialah RM4.65 juta serta kos penahanan sebanyak RM50,000 yang perlu diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

"Ini merupakan program pelupusan ke-22 dalam tahun ini oleh Maritim Terengganu. Sebanyak 60 buah bot masih berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Terengganu, PTV Zon Maritim Kemaman dan PTV Bukit Datu.

“Setakat ini, sejumlah 127 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di perairan Terengganu dengan anggaran nilai RM190.5 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Program pelupusan bot berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Tambah Muhammad Suffi, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan bagi mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.

Artikel Berkaitan: