Monsun Timur Laut: Sembilan daerah di Selangor berisiko banjir

Beberapa lokasi hotspot di sembilan daerah sekitar Selangor berisiko banjir susulan peralihan Monsun Timur Laut bermula bulan ini. - Foto hiasan
Beberapa lokasi hotspot di sembilan daerah sekitar Selangor berisiko banjir susulan peralihan Monsun Timur Laut bermula bulan ini. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sembilan daerah di Selangor berdepan risiko banjir susulan daripada taburan hujan yang dijangka meningkat pada bulan ini berikutan peralihan Monsun Timur Laut.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dalam satu kenyataan berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan purata hujan bagi bulan November di negeri ini adalah antara 250 hingga 370 milimeter (mm).

Menurut kenyataan itu, purata taburan hujan antara 140mm hingga 300mm turut diramalkan di Selangor sepanjang bulan Disember sehingga Mac 2022 depan.

"Ini akan menyebabkan risiko banjir dan banjir kilat di sembilan daerah di negeri ini.

"Kerajaan negeri menasihatkan penduduk yang dikenalpasti berisiko berdepan situasi banjir dan banjir kilat agar mengambil langkah bersedia serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dari masa ke masa," kata kenyataan itu pada Rabu.

Menerusi senarai dikeluarkan, beberapa kawasan berisiko banjir itu membabitkan sembilan daerah iaitu Hulu Langat (32 lokasi), Klang (26 lokasi), Petaling (23 lokasi), Gombak (21 lokasi), Kuala Selangor (18 lokasi), Sepang (lapan lokasi), Kuala Langat (tujuh lokasi), Hulu Selangor (empat lokasi) dan Sabak Bernam dua lokasi.

Dalam pada itu, tambah kenyataan itu lagi, kerajaan negeri juga telah mengarahkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pihak Berkuasa Keselamatan dan PBT untuk melaksanakan persediaan awal.

"Ini adalah bagi menghadapi kejadian banjir, banjir kilat, tanah runtuh, ribut dan lain-lain persediaan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut ini," katanya.

Artikel Berkaitan: