Tidak mustahil calon Bebas dapat mandat

Gambar dari kiri: Walid Mikhael, Arman Nordin, Abd Wahab, Rosli
Gambar dari kiri: Walid Mikhael, Arman Nordin, Abd Wahab, Rosli
A
A
A

MELAKA - Pengundi-pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak menolak kemungkinan calon-calon Bebas yang bertanding berpotensi mendapat sokongan rakyat mengambil kira 'mood' rakyat yang sukar dibaca.

Rosli Mohamad Said, 46, berkata, sebagai anak jati Melaka, beliau menyifatkan tidak mustahil untuk calon Bebas mendapat mandat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atas faktor lebih dekat dengan masyarakat.

"Mereka kadang-kadang duduk dalam kawasan DUN, mereka lebih dekat dengan masyarakat jadi tidak mustahil calon Bebas boleh menang.

"Kita tak boleh pandang rendah sebab kita tak tahu kekuatan dia dengan masyarakat sebab pemimpin yang dipilih itu sebenarnya kekuatannya dengan masyarakat. Jadi, tak mustahil dia boleh dapat kepercayaan rakyat," katanya kepada Sinar Harian.

Bagi pengundi muda, Walid Mikhael, 26, dia tidak melihat calon Bebas mampu memperoleh sokongan namun mengakui tidak mustahil untuk berlaku.

"Bagi saya sendiri mereka tidak akan dapat sambutan. Pada pandangan saya mereka ada yang bermasalah. Jadi, mungkin ramai yang akan pilih calon yang ada parti.

"Calon Bebas ini, saya tak nampak ada kekuatan dan penyokong, tapi saya tak pasti jika pada saat akhir,mereka mengundi Bebas,"katanya.

Bagaimanapun, bagi Arman Nordin, 45, beliau melihat peluang calon Bebas untuk memenangi kerusi DUN adalah sama rata dengan calon berparti dan mampu wujudkan persaingan.

Artikel Berkaitan:

Pengundi DUN Telok Mas itu juga menyifatkan sebarang isu melibatkan parti tidak akan memberi kesan kepada pengundi tidak berparti melainkan penyokong mereka sendiri.

"Nampak (peluang calon Bebas) macam sama rata. Tapi bagi saya lebih bagus Melayu Islam ini sama-sama bergabung,"katanya.

Namun, berbeza pula bagi seorang pengundi veteran, Abd Wahab Hasim, 65, kerana beliau sendiri lebih yakin dengan calon yang mempunyai parti.

Bagaimanapun dia menyifatkan sukar untuk meramal pilihan golongan pengundi muda.

"Undi ni kita tak tahu, kemungkinan (pilih calon Bebas) kerana mereka sakit hati, kalau budak-budak muda memang sakit hati (dengan parti).

"Tapi kalau Bebas menang pun tak ada kemudahan, terserahlah pada orang muda, masa depan nanti kamu yang pegang. Tapi bagi saya, saya lebih yakin dengan calon yang ada parti,"katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, potensi calon Bebas untuk memenangi undi rakyat juga perlu diambil kira atas faktor kekecewaan rakyat Melaka terhadap krisis politik yang mengheret mereka menghadapi PRN Melaka.

Katanya, calon-calon Bebas juga mempunyai peluang untuk menang sekiranya pengundi mahu membuat protes dan memberi signal kepada parti-parti politik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November ekoran pembubaran DUN susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

Seramai 22 calon Bebas mempertaruhkan nasib termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang mempertahankan kerusinya di DUN berkenaan.