X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

MB bimbang kes Covid-19 di NS lebih tinggi berbanding Melaka

Aminuddin (depan di kiri) menyerahkan replika kunci van kaunter bergerak kepada wakil Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban pada Rabu.
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menzahirkan kebimbangan berikutan jumlah kes jangkitan Covid-19 di negeri ini melebihi Melaka.

Aminuddin berkata, beliau membuat perbandingan dengan Melaka kerana negeri jiran itu kini menjadi tumpuan ramai disebabkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.

"Kes Covid-19 ini seperti yoyo, ia turun naik. Apa yang membimbangkan saya, kes di Negeri Sembilan melebihi daripada Melaka dari sehari ke sehari.

"Ini harus jadi perhatian kerana PRN adalah di Melaka tapi kenapa kes di Negeri Sembilan pula yang tinggi," katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Beliau berkata, perkara tersebut turut dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan akan diberi perhatian serius.

Beliau tidak menolak kemungkinan ramai pengunjung bercuti ke pantai Port Dickson menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

"Saya nak ingatkan penduduk di Negeri Sembilan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kadang-kadang bila kita balik kampung, kita lupa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan yang mana ia seolah-olah tidak lagi jadi apa-apa," ujarnya.

Aminuddin turut mengingatkan penduduk di negeri ini supaya tidak leka kerana jangkitan Covid-19 tetap boleh berlaku kepada orang dewasa yang sudah lengkap dua dos vaksin.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata, hanya 27 orang daripada 6,618 penjawat awam di Negeri Sembilan yang masih menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

Sementara itu, sebelum sidang akhbar, Aminuddin melakukan penyerahan sebanyak enam van kaunter bergerak Pejabat Daerah dan Tanah di Negeri Sembilan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.25 juta.

Aminuddin berkata, ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri pada Belanjawan 2021 di bawah bidang tumpuan pentadbiran.

"Van ini akan digunakan sebagai kaunter kutipan cukai tanah bergerak di kawasan luar bandar bermula pertengahan Disember ini. Ia akan diserahkan kepada semua Pejabat Daerah dan Tanah di Negeri Sembilan kecuali Seremban dan Port Dickson," jelas beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!