43 penjawat awam antara 73 individu ditahan SPRM Kedah

Shaharom Nizam (empat dari kanan) bersama wakil-wakil agensi yang menjadi rakan strategik selepas Majlis Apresiasi SPRM Kedah di Alor Setar pada Rabu.
Shaharom Nizam (empat dari kanan) bersama wakil-wakil agensi yang menjadi rakan strategik selepas Majlis Apresiasi SPRM Kedah di Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 73 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah atas kesalahan berkaitan rasuah dan tuntutan palsu pada tahun ini dalam tempoh Januari hingga Rabu.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, jumlah itu membabitkan seramai 43 penjawat awam, selain 27 orang awam dan tiga pekerja swasta.

"Setakat hari ini, SPRM Kedah menerima 175 maklumat mengenai kesalahan-kesalahan berkenaan rasuah. Maklumat ini berkurangan berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak 349 maklumat. Sebanyak 44 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan telah dibuka.

"Pada tahun ini, sebanyak 32 pertuduhan telah dibuat melibatkan Seksyen 17(b) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat SPRM Kedah di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi SPRM Kedah bersama 64 agensi rakan strategik agensi tersebut dalam usaha memerangi rasuah di negeri ini.

Shaharom Nizam berkata, jumlah maklumat mengenai kesalahan rasuah didapati berkurangan pada tahun ini disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi statistik tangkapan bagi tempoh 2019 sehingga kini, beliau berkata, sebanyak 45 peratus daripada 261 tangkapan yang dilakukan merupakan kakitangan awam, manakala selebihnya daripada pihak swasta dan orang awam.

"Berdasarkan statistik ini, penjawat awam dilihat paling banyak terlibat dengan siasatan SPRM sepanjang tempoh tersebut. Antara kesalahan yang terlibat adalah dalam sektor perolehan dan penguatkuasaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, SPRM Kedah turut membuat penyitaan dan pembekuan harta berjumlah RM9 juta bagi tahun ini membabitkan wang tunai, barang berharga dan kenderaan.