Zii Jia berehat seminggu

Zii Jia perlu berehat seminggu selepas mengalami kecederaan belakang pada pusingan pertama di Masters Indonesia 2021 pada Selasa.
Zii Jia perlu berehat seminggu selepas mengalami kecederaan belakang pada pusingan pertama di Masters Indonesia 2021 pada Selasa.
A
A
A

PEMAIN perseorangan utama negara, Lee Zii Jia perlu berehat seminggu selepas mengalami kecederaan belakang pada pusingan pertama di Masters Indonesia 2021 pada Selasa.

Jurulatihnya, Hendrawan berkata, pihaknya akan memantau keadaan juara All England 2021 itu sebelum memutuskan untuk membenarkan anak buahnya itu menyertai saingan Terbuka Indonesia pada 23 hingga 28 November ini.

“Kita akan tengok lagi (Zii Jia) minggu depan kerana masih ada masa buatnya berehat dan rehab. Harap kecederaan Zii Jia bertambah baik,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Pemain berusia 23 tahun itu memutuskan untuk menarik diri selepas ketinggalan 9-11 dalam perlawanan menentang pemain Denmark Rasmus Gemke pada perlawanan pusingan pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua.

Pemain di ranking ketujuh dunia itu turut menarik diri daripada perlawanan akhir Terbuka Hylo di Jerman pada 7 November, berdepan pemain Singapura kelahiran Pulau Pinang Loh Kean Yew ketika perlawanan berkedudukan 21-19, 13-21 dan 12-17.

Zii Jia ketika ditemu bual RTM pada Selasa memaklumkan akan membuat keputusan mengenai penyertaannya di Terbuka Indonesia dan Final BWF Dunia yang dijadual pada 1 hingga 5 Disember ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: