X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Pelabur luar masih berminat melabur dalam negara: Muhyiddin

Muhyiddin pada sidang media Program Pertemuan Bersama British Malaysia Chamber of Commerce (Roundtable Meeting) dan Dialog Pemulihan Negara pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR - Kehadiran syarikat-syarikat besar dari United Kingdom (UK) membuktikan bahawa pelabur masih berminat untuk mengetahui perkembangan proses pemulihan negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelabur turut yakin dengan prospek ekonomi Malaysia yang menunjukkan perkembangan ekonomi negara adalah cerah.

Menurutnya, perbincangan hari ini penting untuk kerajaan mendengar buah fikiran dan pendapat dengan pemain industri dari syarikat antarabangsa yang telah melabur dalam pelbagai sektor.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, hubungan dagang antara Malaysia dan UK adalah satu hubungan strategik yang penting untuk kedua-dua buah negara.

“Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar kepada UK di kalangan negara ASEAN. Sebelum pandemik pada tahun 2019, saya dimaklumkan bahawa nilai FDI dari UK ke Malaysia adalah sebanyak GBP 3.7 bilion, tetapi pada tahun 2020 UK tidak di dalam senarai Top 10 FDI contributing countries into Malaysia.

“Namun saya yakin dan percaya dalam kita bergerak ke hadapan, saya melihat lebih banyak ruang dan peluang untuk syarikat-syarikat dari negara seperti UK untuk masuk melabur ke Malaysia bukan sahaja dalam sektor yang sudah dipelopori tetapi juga sektor-sektor strategik yang baharu,” katanya pada sidang akhbar Program Pertemuan Bersama British Malaysia Chamber of Commerce (Roundtable Meeting) dan Dialog Pemulihan Negara di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, antara sektor-sektor yang perlu diterokai bersama dengan lebih erat dalam era pemulihan negara ini adalah seperti ekonomi digital, kesihatan awam terutamanya dari segi penyelidikan penyediaan pandemik masa hadapan, peralatan perubatan, perubatan, kelestarian alam sekitar dan juga pertahanan dan keselamatan.

Menurut beliau, sektor-sektor itu jika dibangunkan dan dijadikan sebahagian daripada rantaian bekalan global, Malaysia mampu membina semula kekuatan ekonomi negara dan melonjakkan ekonomi untuk menjadi lebih baik daripada sebelum pandemik Covid-19.

“Ini juga selari dengan perbincangan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam 'trade mission' beliau ke UK pada Oktober lalu, di mana beliau telah memaklumkan hasrat syarikat dari UK untuk melabur sebanyak RM800 juta ke Malaysia.

“Dalam kita bergerak ke hadapan menerusi proses pemulihan negara, kita perlu terus berusaha meyakinkan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.

“Malaysia terbuka untuk berniaga dan keutamaan kita untuk pemulihan negara. Sebagaimana yang kita sedia maklum, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sekitar 5.5 ke 6.6 peratus pada tahun 2022.

“Justeru, kita harus bekerja keras untuk memastikan unjuran ini dapat direalisasikan selari dengan hasrat kita untuk menjadikan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan negara. ‘2022 is the year that we will bounce back and emerge stronger than pre-pandemic’,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, British Malaysia Chamber of Commerce turut mengemukakan beberapa cadangan seperti mempercepatkan pembukaan sempadan negara untuk dipertimbangkan.

Menurutnya, MPN akan memberikan ruang kepada syarikat antarabangsa untuk laporan dan cadangan dalam Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara akan datang.

Katanya, British Malaysia Chamber of Commerce turut menyentuh tentang insentif pelaburan dan bagaimana Malaysia dapat terus membantu mereka supaya kos-kos perniagaan dapat dikurangkan.

“Selain itu, mereka juga mencadangkan supaya tempoh masa untuk mendapatkan kelulusan perniagaan itu tidak mengambil masa yang agak lama sehingga boleh menjejaskan pelaburan mereka.

“Mereka juga menyebut berkenaan minyak dan gas yang merupakan sektor penting, bagaimana untuk disegerakan proses pengambilan pegawai-pegawai pedagang bagi memenuhi keperluan industri ini.

“Selain itu, Marlborough college turut membangkitkan tentang industri pendidikan yang menyentuh masalah mereka dan ada juga syarikat lain yang menyentuh soal industri pendidikan yang terjejas dan ingin kembali pulih, mereka memerlukan banyak bantuan, sokongan daripada kerajaan. Jadi saya ambil perhatian tentang cadangan-cadangan tadi,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!