Modul diguna kerajaan dalam pelaksanaan rangkaian 5G diperinci esok

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Modul yang bakal digunakan kerajaan dalam melaksanakan rangkaian 5G akan diperincikan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, esok.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengakui ketika ini sememangnya timbul perdebatan dalam memilih untuk menggunakan rangkaian yang lebih baik iaitu sama ada konsep multi system iaitu rangkaian 5G dikendali pelbagai syarikat telekomunikasi atau single wholesale network system yang hanya melibatkan syarikat tunggal.

Katanya, kerajaan sedar bahawa konsep penyedia tunggal yang dirancang digunakan mempunyai sejarah kegagalan di beberapa negara lain seperti Mexico.

“Kajian dah dibuat tentang punca-punca kegagalan dan setakat maklumat kita peroleh, asas dan latar belakang masalah adalah sangat berbeza sekali dan model single wholesale network adalah tidak sama dengan apa dirancang untuk digunakan melalui DNB (Digital Nasional Berhad).

“Walaupun demikian Menteri Kewangan akan buat penghuraian lebih terperinci berhubung DNB, kerana DNB adalah sebuah syarikat bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan, sementara kementerian mengawal selia sudut pembahagian spektrum serta pelaksanaan perkhidmatan kemudian nanti,” katanya.

Annuar berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sebelum itu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) ketika mencelah mempersoal sama ada negara bersedia menghadapi masalah serupa dihadapi beberapa negara yang mengguna pakai konsep syarikat tunggal sehingga jatuh bankrap dan ada juga menurutnya yang mempertimbangkan konsep sama, namun akhirnya diketepikan.

Menjawab celahan Khalid Samad (PH-Shah Alam) yang mahu tahu sekiranya kerajaan yakin modul single wholesale network system akan dapat melaksanakan rangkaian 5G dengan lebih cepat berbanding multi system, Annuar berkata, perkara ini telah diberi jaminan oleh DNB sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Itu DNB beri jaminan dan kerajaan telah menetapkan garis masa dalam tempoh tiga tahun menjelang tahun depan dengan 36 peratus liputan dan selepas mencapai 80 peratus sebelum 2024. Garis masa ini yang dimandatkan kepada DNB untuk dilaksanakan,” katanya.

Mengenai penetapan harga yang akan dikenakan bagi penggunaan rangkaian 5G itu kelak, Annuar berkata, sehingga kini rundingan masih berjalan dan belum ada sebarang keputusan muktamad mengenainya.

“Untuk makluman, sebenarnya rundingan antara syarikat-syarikat telekomunikasi dengan DNB sedang dikendali SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), kerana rundingan harga dan kawal selia harga akan ditentukan SKMM melalui satu mekanisme yang telah diperuntuk di bawah undang-undang.

“Tanggungjawab kementerian dan SKMM adalah untuk memastikan satu harga munasabah bagi menjamin harga perlu dibayar rakyat semestinya murah,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab isu ditimbulkan Khalid mengenai kos RM16.5 bilion untuk menyediakan teknologi itu, Annuar menjelaskan bahawa ia tidak melibatkan dana secara langsung oleh kerajaan dan tiada sebarang jaminan diberikan.

“Ini akan diterangkan kepada Yang Berhormat apabila ada perjumpaan dengan backbenchers nanti,” katanya menambah bahawa topik berkenaan boleh dibincangkan lebih mendalam dalam platform lain, selepas ini. - Bernama